
Instagram sedang menguji ciri baharu yang membolehkan sesiapa yang kerap menggunakan kecerdasan buatan (AI) menandakan akaun mereka sebagai ‘AI Creator’. Label ini akan dipaparkan pada profil pengguna dan kandungan yang dikongsi dengan tujuan memberi ketelusan kepada pengikut tentang bagaimana kandungan tersebut dihasilkan.

Ciri ini dibangunkan berasaskan sistem label maklumat AI sedia ada iaitu label yang boleh ditambah ketika memuat naik kandungan berasaskan AI. Selain itu, label ini bersifat pilihan yang bermaksud pemilik akaun sendiri perlu memilih untuk mengaktifkannya. Jika diaktifkan, ia akan dipaparkan secara konsisten pada profil dan kandungan mereka. Pun begitu, Instagram turut menegaskan bahawa penggunaan label ini tidak menjejaskan cara kandungan dikongsikan di platform.


Buat masa ini, ciri ini hanya ditawarkan kepada sebahagian pengguna terpilih sebagai ujian awal. Dalam beberapa minggu akan datang, ciri ini akan diperluas kepada lebih ramai pengguna. Langkah ini dilihat sebagai usaha meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap kandungan di media sosial yang semakin berkembang pesat.




