
KUALA LUMPUR - Pasukan krisis Malaysia Airlines (MAS) pada peringkat awal tidak menyedari pesawat MH370 telah berpatah balik selepas komunikasi dan isyaratnya hilang, menyebabkan usaha mencari pesawat itu pada mulanya dilakukan berdasarkan laluan penerbangan asal.
Bekas pengarah krisis MH370 dan MH17, Mohd Fuad Sharuji berkata, keadaan tersebut berlaku kerana pasukan berkenaan ketika itu hanya mempunyai maklumat daripada radar awam, yang tidak menunjukkan pesawat Boeing 777 terbabit telah membuat pusingan dan menuju semula ke arah bertentangan.
Menurutnya, kemungkinan pesawat dirampas antara perkara pertama terlintas di fikiran pasukan selepas menerima maklumat daripada INTERPOL mengenai dua penumpang yang menaiki pesawat menggunakan pasport curi.
“Daripada INTERPOL (Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa), kami dimaklumkan bahawa mereka menggunakan pasport palsu. Mereka memasuki Kuala Lumpur menggunakan pasport asal tetapi keluar menggunakan pasport palsu.
“Jadi, pada ketika itu, kami terus menganggap kemungkinan pesawat telah dirampas. Rampasan pesawat adalah perkara pertama yang terlintas di fikiran kami berkaitan MH370,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk MH370: The Search, The Mystery & What Really Happened? pada siri syarahan anjuran British Graduate Association of Malaysia (BGAM) di Petaling Jaya, semalam.
Ceramah berkenaan dikendalikan Pengerusi Bahagian Teknikal Kejuruteraan Mekanikal, Institution of Engineers Malaysia (IEM), Dr Ricky Liew Chee Leong.
Turut hadir Presiden BGAM, Datuk Kamarudin Md Ali; bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar; dan pengasas BAC Education, Raja Singham.
Siasatan kemudian mendapati dua penumpang berkenaan ialah warga Iran, menggunakan pasport Austria dan Itali yang dilaporkan dicuri.
Namun, tiada bukti ditemukan yang mengaitkan mereka dengan keganasan.
INTERPOL pula memaklumkan, maklumat yang diperoleh lebih konsisten dengan kemungkinan mereka terlibat dalam cubaan migrasi secara tidak sah.
Mengimbas semula malam kejadian, Mohd Fuad berkata beliau menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Operasi (OCC) kira-kira jam 2 pagi, memaklumkan MH370 tidak lagi dapat dikesan ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Pada masa sama, empat pesawat MAS lain sedang menuju ke arah timur laut, masing-masing dalam penerbangan ke Tokyo, Osaka, Guangzhou (China) dan Incheon di Korea Selatan.
Beliau kemudian meminta pengurus operasi menghubungi juruterbang keempat-empat pesawat itu bagi mendapatkan bantuan untuk cuba berkomunikasi dengan MH370 menggunakan radio VHF.
Namun, semua percubaan berkenaan tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Kami cuba juga menghubungi pesawat melalui komunikasi satelit, tetapi masih tiada jawapan. Pada ketika itu kami tahu sesuatu yang serius telah berlaku kepada pesawat itu,” katanya.
Mohd Fuad berkata, beliau kemudiannya mengaktifkan Code Red, sebelum pengurusan kanan MAS dan pasukan berkaitan dihimpunkan di Pusat Operasi Kecemasan (EOC).
Bagaimanapun, pencarian pada peringkat awal tersasar daripada kedudukan sebenar pesawat kerana pasukan krisis tidak mengetahui bahawa MH370 telah berpatah balik.
Maklumat bahawa pesawat itu sebenarnya telah membuat pusingan U hanya diterima pada keesokan harinya selepas pergerakannya dikenal pasti melalui radar utama tentera.
“Pada awalnya, kami menghubungi kawalan trafik udara Hong Kong dan Vietnam, tetapi kedua-duanya tidak mengesahkan pesawat itu memasuki ruang udara mereka,” katanya.
Berdasarkan maklumat diterima ketika itu, operasi pencarian selama tujuh hari pertama tertumpu di Laut China Selatan, iaitu di sepanjang laluan yang sepatutnya dilalui MH370.
Pencarian kemudian diperluaskan ke Selat Melaka sebelum tumpuan dialihkan ke selatan Lautan Hindi.
Mohd Fuad berkata, data daripada satelit Inmarsat kemudiannya memainkan peranan dalam membantu pasukan mengenal pasti kemungkinan arah penerbangan MH370 selepas pesawat itu tidak lagi dapat dikesan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa Inmarsat bukan sistem yang boleh memberikan lokasi pesawat secara terus, sebaliknya merupakan rangkaian satelit komunikasi.
Katanya, pasukan berkenaan juga belum pernah menggunakan data daripada sistem itu dalam operasi seumpama tersebut sebelum kehilangan MH370.
Pada Julai 2015, lebih setahun selepas kehilangan MH370, serpihan yang dikenal pasti sebagai flaperon pesawat itu ditemukan di Pulau Réunion.
Penemuan berkenaan berlaku selepas pencarian tertumpu di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis mengenai laluan yang dipercayai diambil pesawat tersebut.
Namun sehingga kini, bangkai utama Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu masih belum ditemukan, menjadikan ia kekal sebagai misteri penerbangan terbesar dalam sejarah dunia. - Getaran, 27 September 2026


![[VIDEO] Terkejut polis patah balik, ingat rumah kena rompak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-23-at-12.37.00-PM-1024x538.jpeg)

![Piala FA 2026-2027 [LIVE]: Jadual Perlawanan & Keputusan Terkini](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://ecentral.my/wp-content/uploads/2026/09/piala-fa-2026-2027-819x1024.jpg)
![Piala FA 2026-2027 [LIVE]: Jadual Perlawanan & Keputusan Terkini](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://ecentral.my/wp-content/uploads/2025/11/PIALA-FA-2-26-2027-1024x576.jpg)
