Mi Technovation berpotensi catat jualan kukuh pada 3QFY25 dipacu segmen peralatan, bahan semikonduktor - PublicInvest

20/08/2025 - 10:56
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Mi Technovation Berhad berpotensi mencatatkan jualan kukuh pada 3QFY25 dipacu segmen perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU) dan segmen perniagaan bahan semikonduktor (SMBU), kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, jangkaan itu didorong permintaan berterusan terhadap teknologi pembungkusan cip lanjutan serta produk bola pateri di China dan Taiwan.
Firma penyelidikan itu berkata, pasaran China dan Taiwan scara kolektif merangkumi lebih daripada 70% jumlah jualan kumpulan dan ia terus menunjukkan pertumbuhan permintaan yang kukuh dalam keduadua segmen.
"Prestasi operasi Mi Equipment di China dan Korea juga menunjukkan peningkatan ketara, manakala Accurus China, di bawah unit SMBU, berjaya mengurangkan kerugian hasil daripada peningkatan kadar penggunaan kapasiti.
"Dalam tempoh yang sama, Taiwan kekal sebagai pasaran terbesar Mi Technovation dengan sumbangan 36.9% kepada hasil keseluruhan," katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest berkata, jualan 1HFY25 syarikat meningkat 16.8% tahun ke tahun kepada RM273.6 juta, dengan sumbangan utama datang daripada segmen mobiliti dan peranti (70.7%), diikuti oleh pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) & memori (22.4%) serta automotif & tenaga boleh diperbaharui (6.9%).
Katanya, permintaan kukuh terhadap produk berpaten seperti Cyclomax dan iSAC, yang menyumbang hampir separuh daripada jualan bola pateri, turut menjadi pemacu utama prestasi SMBU.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun margin keuntungan SMBU menurun kepada 18.1% daripada 26.5% berikutan kelemahan mata wang Taiwan, jualan keseluruhan kekal sihat.
Berdasarkan prestasi kukuh separuh pertama FY25 dan keterlihatan pendapatan yang stabil, firma penyelidikan itu telah menaikkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 sebanyak 7% hingga 13%.
Mi Technovation juga sedang dalam proses menubuhkan kilang bola pateri ketiga di Senai, Johor, bagi menyokong pelanggan multinasional utama di Singapura dan Muar, dengan operasi komersial dijangka bermula pada separuh pertama 2027.
"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM2.76 sesaham," katanya. - DagangNews.com
standard
