amree05/10/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt — Mi Technovation Berhad memfailkan prospektus awal bagi cadangan penyenaraian anak syarikatnya dalam perniagaan bahan semikonduktor, Mi Material di Pasaran Utama Bursa Singapura (SGX).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pemfailan berkenaan dilaksanakan pada 5 Oktober 2026 dengan Monetary Authority of Singapore (MAS) berkaitan cadangan penyenaraian tersebut.
Prospektus awal itu kini tersedia untuk akses awam menerusi laman web rasmi MAS, namun pemfailan berkenaan masih lagi tertakluk kepada semakan daripada pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.
Selain itu, Mi Technovation turut mendedahkan prestasi kewangan dijangka Mi Material bagi suku berakhir 30 September 2026, dengan hasil diunjur naik 15.6% kepada AS$37.8 juta (RM154.4 juta).
"Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan jumlah jualan merentasi semua kategori produk, selaras dengan corak bermusim apabila permintaan pelanggan lazimnya lebih tinggi pada separuh kedua tahun," jelasnya.
Mi Material dijangka mencatat margin keuntungan kasar sebanyak 47.5% bagi suku berkenaan, sedikit lebih rendah berbanding 48% pada suku berakhir 30 Jun 2026.

Ujar Mi Technovation, kadar margin yang agak stabil itu disebabkan perkadaran jualan produk 'specialty alloy' dan 'fine-pitch solder sphere' yang hampir sama pada kedua-dua suku berkenaan.
Seiring peningkatan aktiviti perniagaan pada tempoh suku ketiga, Mi Material turut menjangkakan keuntungan sebelum cukai meningkat berbanding suku berakhir 30 Jun 2026.
"Bagaimanapun, pemfailan prospektus awal itu tidak boleh dianggap sebagai petunjuk mengenai merit cadangan penyenaraian, Mi Material, anak-anak syarikatnya atau saham Mi Material," katanya.
Kumpulan itu berkata prospektus awal berkenaan masih tertakluk kepada semakan MAS serta boleh dipinda, ditambah atau dikemas kini, dengan tiada jaminan bentuk serta butiran penyenaraian akhir.
Prospektus akhir hanya akan disediakan apabila didaftarkan sewajarnya oleh MAS ketika tawaran berkaitan cadangan penyenaraian dibuat.
Justeru, Mi Technovation akan mengumumkan perkembangan material berhubung cadangan itu dari semasa ke semasa dan menasihatkan pemegang saham serta pelabur berhati-hati ketika berurusan dalam sekuriti syarikat. - DagangNews.com






