Micron Akan Menghentikan Pengeluaran Memori DDR4 Dalam Masa Beberapa Bulan Lagi

TechnologyDigital
16 Jun 2025 • 4:39 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Micron merupakan salah satu daripada syarikat-syarikat memori yang masih menghasilkan cip memori DDR4, tetapi perkara tersebut nampaknya akan berakhir juga, apabila mereka telah mengeluarkan notis kepada pelanggan-pelanggan dengan mengatakan bahawa pengeluaran cip tersebut akan berkurangan dalam tempoh 6-9 bulan akan datang, dimana mereka kemudiannya akan menghentikan pengeluaran memori tersebut.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, khususnya apabila syarikat-syarikat pengeluar memori lain seperti Samsung dan SK Hynix juga telah mengumumkan bahawa mereka akan atau telahpun menghentikan pengeluaran memori DDR4 untuk memfokuskan kepada pengeluaran memori terbaru seperti DDR5, HBM dan lain-lain.

image is not available

Oleh kerana ini, memori DDR4 dijangka akan meningkat pada penghujung tahun ini apabila bekalan untuk memori tersebut akan semakin berkurangan, dan dijangka akan menjadi lebih mahal daripada DDR5 tidak lama lagi.

Walaupun memori DDR5 kini sudah mula digunakan secara meluas dalam industri perkomputeran seperti komputer pengguna, mesin pelayan dan pusat data, memori DDR4 masih lagi digunakan didalam industri-industri lain seperti pengilangan, automotif, rangkaian digital dan lain-lain yang lebih mementingkan kestabilan penghantaran data daripada kelajuan semata-mata.

Ia dijangka bahawa kesemua syarikat-syarikat pengeluar memori DDR4 akan menghentikan pengeluaran memori tersebut sekitar penghujung tahun ini ke pertengahan tahun 2026. Memori DDR5 akan digunakan secara lebih meluas, dan hanya beberapa industri tertentu akan terus menggunakan memori DDR4 di masa akan datang.