Antara ciri AI generatif menarik lain tetapi bahaya adalah kemampuan klon suara manusia untuk mencipta avatar. Perkara baiknya ia memudahkan pengguna yang melakukan kerja-kerja alih-suara atau memudahkan kandungan video dihasilkan, sementara penggunaan berbahaya adalah suara orang ternama digunakan untuk tujuan menipu. Microsoft Teams bakal menggunakan ciri ini untuk perkara yang menarik dan futuristik.
Akan datang, pengguna boleh klon suara sendiri dalam perkhidmatan telesidang Microsoft Teams untuk tujuan penterjemahan. Pengguna secara asasnya akan melatih suara sendiri menjadi suara digital yang boleh bercakap bahasa berbeza seperti Inggeris, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea, Portugal, Cina Mandarin dan Sepanyol. Ciri ini akan menjadikan suara AI yang menterjemah sesi telesidang menggunakan suara sendiri berbanding suara AI atau robot yang menjengkelkan.
Ciri ini akan tiba pada awal tahun 2025 dan akan dihadkan kepada pelanggan berbayar Microsoft 365 terlebih dahulu. Ciri ini turut akan berada dalam program Public preview.

