MIDF Research jangka pembelian hartanah semakin lemah susulan kenaikan OPR, kekal ‘neutral’ terhadap sektor hartanah
diyana
19/06/2023 - 10:29
KUALA LUMPUR 19 Jun - Permohonan pinjaman pembelian hartanah dijangka lebih lemah pada masa akan datang berikutan kenaikan kadar dasar semalam (OPR) pada Mei 2023.
MIDF Research berkata sedemikian berikutan data permohonan pinjaman dan kelulusan pinjaman adalah lebih lemah pada April 2023 yang sedikit negatif terhadap sektor hartanah.
Namun begitu, katanya, data kediaman tidak terjual yang bertambah baik dalam suku pertama tahun ini adalah positif kepada sektor ini kerana ia mengurangkan kebimbangan terhadap lebihan bekalan hartanah kediaman di Malaysia.
Memetik data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), firma itu berkata kediaman tidak terjual di Malaysia kekal dalam trend menurun pada suku pertama tahun ini.
“Kemerosotan berterusan dalam kediaman tidak terjual boleh dikaitkan dengan minat belian yang lebih tinggi ke atas hartanah berikutan pembukaan semula sempadan ekonomi dan negara,” jelasnya.
MIDF Research mengekalkan ‘neutral’ tetapi dengan positif berat sebelah pada sektor hartanah.
Antara kaunter pilihan teratasnya untuk sektor ini adalah Mah Sing Group (beli, TP: 75 sen) dan Glomac Berhad (beli, TP: 43 sen) disebabkan firma tersebut kekal positif terhadap pemaju yang menumpukan kepada projek pembinaan dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik.
Mengulas berkenaan data permohonan pinjaman pembelian hartanah pada April 2023, MIDF berkata data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan penurunan sebanyak 23% bulan ke bulan (MoM) dan 11.4% tahun ke tahun (YoY) selepas peningkatan pada Februari dan Mac 2023.
“Memandang ke hadapan, kami berpendapat bahawa permohonan pinjaman mungkin kekal lemah memandangkan BNM telah meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3% pada 3 Mei 2023 yang mungkin mengurangkan minat belian ke atas hartanah,” jelasnya.
Sementara itu, pinjaman diluluskan lebih rendah pada April 2023 dengan penyusutan 17.8% MoM dan 5.1% YoY pada April 2023, sejajar dengan permohonan pinjaman yang lebih rendah pada April 2023.
MIDF berkata penurunan itu sebahagiannya dapat dikawal oleh peningkatan permohonan pinjaman dan peratusan yang lebih tinggi daripada jumlah pinjaman diluluskan berbanding jumlah permohonan pinjaman sebanyak 46.4% pada April 2023 berbanding 43.5% bulan sebelumnya.
“Secara kumulatif, jumlah pinjaman diluluskan dalam empat bulan pertama tahun ini adalah lebih tinggi sebanyak 6.3% yang memberi petanda baik untuk prospek jualan baharu untuk pemaju hartanah, namun momentum mungkin lebih lemah akibat kenaikan OPR” katanya. -DagangNews.com


