
PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 menjadi detik istimewa buat barisan atlet negara apabila semangat kemerdekaan yang diraikan turut menyemarakkan aspirasi mereka untuk mengharumkan nama Malaysia pada Sukan SEA 2027.
Menerusi kerjasama MILO dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sumbangan serta pengorbanan wira sukan negara diraikan dalam Perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, Isnin lalu.
Kerjasama itu bukan sekadar menghidupkan semangat Merdeka dan Sukan SEA, malah menyatukan rakyat menerusi nilai kesungguhan, daya tahan serta kecemerlangan sukan, selain meneruskan legasi MILO dalam memperkasakan generasi muda dan membudayakan gaya hidup aktif.

Antara yang mencuri perhatian ialah kereta berhias KBS yang menampilkan elemen Sukan SEA, Jalur Gemilang, mercu tanda negara, motif belang Harimau Malaya serta replika Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kereta berhias yang mencerminkan kesiapsiagaan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 itu disertai atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Hafizuddin Roslin serta pemain boling padang, Aleena Ahmad Nawawi.
Turut mengambil bahagian ialah atlet lompat jauh para, Eljoe Gotuoh dan atlet bola keranjang berkerusi roda, Freday Tan Yei Bing, manakala van ikonik MILO mengiringi kereta berhias KBS dari belakang.
Penyertaan barisan atlet itu bertujuan mendekatkan kisah perjuangan mereka kepada masyarakat, selain menyemarakkan sokongan rakyat terhadap kontinjen negara menjelang temasya dwitahunan tersebut.

Pegawai Eksekutif Perniagaan MILO, Ng Su Yen berkata, sukan berupaya mengeratkan hubungan rakyat Malaysia merentasi generasi, budaya dan latar belakang.
“Kami berharap sambutan Merdeka kali ini dapat memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong atlet kita pada Sukan SEA 2027 apabila Malaysia menjadi tuan rumah,” katanya.
Bagi Aniq, sokongan padu rakyat mampu menjadi sumber inspirasi kepada barisan atlet untuk terus berusaha dan memberikan persembahan terbaik buat negara.
“Kami berharap ini akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong Pasukan Malaysia.
“Sokongan padu daripada rakyat Malaysia pastinya akan menjadi sumber inspirasi untuk kami terus menuju ke puncak jaya dan memberikan yang terbaik buat Malaysia,” katanya.
Mengimbau permulaan kariernya, Aniq mula serius dalam sukan angkat berat pada usia 15 tahun sebelum usaha kerasnya membuka laluan untuk menyertai skuad kebangsaan.
“Saya mula pada umur 15 tahun dan terus menyertai Sukma selepas berlatih selama setahun. Alhamdulillah, ada hasilnya dan selepas itu saya teruskan perjalanan sehingga menyertai pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Sementara itu, Aleena menyifatkan peluang menyambut Hari Kebangsaan bersama rakyat Malaysia sebagai satu penghormatan serta pengalaman cukup bermakna buat dirinya.
“Hari ini mengingatkan kita bahawa kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan menerusi sukan. Apabila kita berdiri teguh bersama dan berkongsi impian, tiada batasan terhadap apa yang boleh kita capai sebagai sebuah negara,” katanya.
Hafizuddin pula berharap dapat menampilkan kebangkitan pada Sukan SEA 2027 selepas menamatkan penampilan sulungnya di Thailand pada kedudukan keempat dengan perbezaan hanya satu kilogram (kg).
“Harapan saya supaya pasukan angkat berat boleh menjadi juara keseluruhan pada Sukan SEA nanti. Kami mahu bangkit daripada kekalahan di Thailand dan cuba meraih sebanyak mungkin pingat emas,” katanya.

Komitmen itu meneruskan legasi MILO bersama KBS, Kementerian Pendidikan dan Majlis Olimpik Malaysia dalam membina generasi lebih aktif menerusi inisiatif akar umbi seperti Klinik Juara MILO dan kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Lebih 100,000 cawan MILO turut diagihkan secara percuma sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi menyemarakkan semangat Malaysia Boleh. – KOSMO! ONLINE





