Nasruddin idam aksi Sukan SEA 2027  

1 Sep 2026 • 10:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nasruddin idam aksi Sukan SEA 2027  

PETALING JAYA: Dua kejayaan meraih pingat emas dalam tempoh dua minggu menyemarakkan impian atlet taekwondo Terengganu, Muhammad Nasruddin Azrin untuk mewakili negara di pentas Sukan SEA 2027.

Atlet berusia 21 tahun itu bagaimanapun sedar impian beraksi di temasya dwitahunan berkenaan memerlukan dirinya terlebih dahulu membuktikan kemampuan untuk menembusi kem kebangsaan.

Nasruddin sebelum ini merangkul emas acara kyorugi kategori 74 hingga 80 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sebelum mengulangi kejayaan sama pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 mewakili Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Menurut Nasruddin, kejayaan berturut-turut itu memberinya keyakinan untuk menyasarkan peluang lebih besar, termasuk mewakili negara pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, Disember ini.

“Saya ada sasaran untuk masuk kem kebangsaan. Kalau saya dapat tunjukkan prestasi lagi dalam perlawanan seterusnya, mungkin saya boleh dapat perhatian daripada jurulatih kebangsaan untuk tarik saya masuk ke dalam pasukan kebangsaan.

“Mungkin kalau saya teruskan latihan, insya-Allah tahun depan. Tahun ini kalau ada rezeki, saya dapat sertai AUG yang akan berlangsung di KL hujung tahun ini. Itu sasaran saya juga untuk mewakili Malaysia dalam AUG,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nasruddin turut meletakkan Sukan SEA 2027 sebagai sasaran utamanya, namun mengakui perjalanan ke temasya dwitahunan itu bergantung kepada kemampuannya menembusi skuad kebangsaan terlebih dahulu.

“Sukan SEA pun saya ada sasaran juga, tetapi untuk Sukan SEA saya kena masuk pasukan kebangsaan dulu,” katanya.

Mengulas peluangnya untuk menyertai kem kebangsaan, Nasruddin tidak menganggap dua pingat emas yang diraihnya sudah cukup untuk membuktikan dirinya mendominasi kategori berkenaan sebaliknya mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.

“Saya rasa saya belum kuasai lagi sebab perlawanan-perlawanan yang saya lalui, bila saya lawan dengan pihak lawan, tidak ada perbezaan yang terlalu jauh.

“Bagi saya, kalau pasukan kebangsaan itu sudah di tahap yang lain. Sepatutnya perlawanan itu jadi mudah, bukannya susah. Jadi saya rasa saya belum mendominasi kategori ini,” katanya. – UTUSAN

The post Nasruddin idam aksi Sukan SEA 2027   appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved