Pandelela belum fikir ‘gantung’ terjun

28 Aug 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pandelela belum fikir ‘gantung’ terjun

PETALING JAYA: Usia 33 tahun belum cukup untuk memadamkan api perjuangan Datuk Pandelela Rinong apabila ratu terjun negara itu masih mahu mencurahkan kudratnya dalam usaha memburu pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya, September ini.

Pandelela yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas Olimpik kini memasuki fasa penting karier, namun buat masa ini fikirannya hanya tertumpu kepada persiapan menghadapi temasya yang dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

Petanda penerjun kelahiran Sarawak itu masih mampu bersaing turut hadir menerusi kejayaan menjuarai acara 10 meter (m) platform pada Kejohanan Pemilihan Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, April lalu.

Lebih manis, kemenangan tersebut hadir selepas Pandelela terpaksa berdepan masalah kecederaan termasuk kecederaan trisep yang menjejaskan persiapannya untuk menghadapi Piala Dunia dan Kejohanan Dunia musim lalu.

“Latihan macam biasa di Kuala Lumpur, lepas itu bulan September kami akan ke China untuk kem latihan selama tiga minggu sebelum terus ke Jepun untuk Sukan Asia,” katanya.

Selepas Aichi-Nagoya, persoalan mengenai masa depan Pandelela pasti kembali menjadi perhatian apabila dia mengakui temasya itu mungkin menjadi penampilan terakhirnya di pentas Sukan Asia.

“Mungkin, tetapi saya hanya fokus pada masa sekarang,” katanya.

Pandelela mempunyai pengalaman yang sukar ditandingi apabila pernah membawa pulang gangsa Olimpik London 2012 sebelum menambah koleksi dengan perak 10m platform seirama bersama legenda terjun, Cheong Jun Hoong di Rio 2016.

Rekodnya di Sukan Asia juga cukup mengagumkan dengan lima pingat dikumpul termasuk perak dan gangsa di Guangzhou 2010 serta gangsa pada edisi Incheon 2014 dan Hangzhou 2023.

Namun, untuk terus bertahan pada usia 33 tahun, Pandelela kini memberi perhatian lebih serius kepada aspek penjagaan fizikal dengan mengimbangi intensiti latihan dan pemulihan.

“Saya sentiasa menjaga diri dengan lebih baik dan fokus kepada keseimbangan latihan serta pemulihan,” katanya.-UTUSAN

The post Pandelela belum fikir ‘gantung’ terjun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved