
KUALA LUMPUR: Penganjuran Persidangan Antarabangsa Military Law and Operations (MILOPS) Ke-37 yang berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos di ibu negara disifatkan sebagai platform penting bagi membina keyakinan, memperkukuh persefahaman dan kerjasama demi keamanan serta kestabilan Indo-Pasifik
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persidangan berprestij itu turut berjaya menjadi medium bagi memperkukuh persefahaman, kepercayaan profesional dan keyakinan dalam kalangan negara yang mahukan keamanan serta kestabilan.
Malah katanya, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah turut mencerminkan kepercayaan negara bahawa dialog dan penglibatan merupakan instrumen utama dalam mengekalkan keamanan.
“Tiada dialog Indo-Pasifik yang bermakna dapat berlangsung tanpa ASEAN yang aman dan bersatu. Asia Tenggara berada di tengah-tengah rantau Indo-Pasifik dan kestabilan ASEAN menjadi asas kepada kestabilan rantau yang lebih luas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian MILOPS ke-37 di sini semalam
Menurut beliau, ASEAN mempunyai struktur keselamatan serantau yang tersusun dan perlu terus menjadi saluran utama dalam sebarang perbincangan berkaitan Indo-Pasifik.
Beliau turut menegaskan bahawa Asia Tenggara perlu terus kekal sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), iaitu gagasan yang dipelopori Malaysia di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1971
Katanya, keamanan yang dinikmati rantau ini selama beberapa dekad telah membolehkan ekonomi berkembang, masyarakat menjadi lebih makmur serta mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai antara organisasi serantau paling berjaya di dunia.
“Keamanan bukan memerlukan kita memilih pihak tertentu. Sebaliknya, keamanan memerlukan kita berhubung dengan semua pihak dan menghormati semua pihak sambil terus berpegang kepada prinsip dan kepentingan kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, semua negara yang berurusan dengan ASEAN perlu memahami dan menghormati Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara (TAC) yang menjadi asas kepada norma dan prinsip hubungan serantau.
Beliau berkata, TAC berfungsi sebagai kod tatakelakuan ASEAN yang menekankan prinsip saling menghormati, penyelesaian pertikaian secara aman, tidak campur tangan dalam urusan dalaman serta kerjasama.
Sementara itu, beliau mengingatkan bahawa peranan sebenar angkatan tentera bukan untuk melancarkan peperangan, sebaliknya mengekalkan keamanan dengan memastikan konflik dapat dielakkan melalui dialog, diplomasi dan pengantaraan.
Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran angkatan tentera tidak seharusnya dilihat sebagai simbol intimidasi atau demonstrasi kuasa, sebaliknya sebagai komitmen bersama untuk mengekalkan keamanan.
Beliau turut menyeru kuasa-kuasa besar dunia agar terus menghormati undang-undang antarabangsa dan aturan berasaskan peraturan secara konsisten dan bukan secara terpilih.
“Jika kita kekal berpegang kepada prinsip keamanan, berkecuali, dialog, saling menghormati dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, saya yakin perbincangan sepanjang MILOPS akan menyumbang kepada pembentukan Asia Tenggara dan Indo-Pasifik yang lebih aman, stabil dan makmur,” katanya. – UTUSAN
The post MILOPS: Malaysia tegaskan ASEAN teras keamanan Indo-Pasifik appeared first on Utusan Malaysia.






