
Minah Saleh Kongsi Luahan Hati Pasal Malaysia
Malaysia sememangnya 'indah' dengan caranya yang tersendiri. Bak kata kebanyakan pelancong, ia bukan semata-mata soal tempat yang memukau atau makanan yang memikat selera, tetapi tentang rakyatnya.
kita yang lahir dan membesar di sini terlalu biasa dengan perkara-perkara kecil di sekeliling sehingga terlupa bahawa apa yang dianggap biasa oleh kita sebenarnya cukup luar biasa di mata orang lain.
Baru-baru ini, satu perkongsian daripada seorang wanita warga asing yang kini menetap di Malaysia bersama keluarganya mencuri perhatian ramai di TikTok.
Video itu bukan memaparkan tempat-tempat menarik atau makanan viral. Sebaliknya, dia berkongsi satu persoalan yang cukup unik.
"Kalaulah Malaysia seorang manusia..."
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, wanita itu membayangkan bagaimana jika Malaysia ialah seorang manusia.
Kalaulah Malaysia seorang manusia, dunia pasti akan jadi tempat yang lebih indah. Ini sebabnya...
Malaysia takkan bawa anda ke kafe yang viral di Instagram semata-mata. Sebaliknya, Malaysia akan ajak anda makan di kedai sederhana dengan kerusi plastik, menu yang dah pudar, tetapi sentiasa dipenuhi pelanggan setia yang datang sejak berpuluh-puluh tahun.
Malaysia juga pasti ada saudara atau kenalan untuk setiap masalah. Paip rumah rosak? Nak cari tukang baiki kereta? Nak beli pakaian sekolah? Lapar tengah malam? Jangan risau. Mesti ada pak cik, mak cik atau kawan yang kenal seseorang yang boleh membantu.
Malaysia juga takkan lupa minuman kegemaran anda. Siang hari, Teh C Ais. Malam pula, Milo ais. Malah, jika suatu ketika dulu anda pernah cakap suka makan dhal, lain kali pesan tosai pun belum sempat minta, kuah dhal dah ditambah lebih.
Malaysia akan bertanya tentang keluarga anda, kisah hidup anda dan kepercayaan anda. Bukan kerana perbezaan itu penting, tetapi kerana bagi Malaysia, manusialah yang paling penting.
Dan kalau Malaysia cakap, "Jangan risau, tak pedas pun..." percayalah... itu mungkin ayat paling berbahaya yang pernah anda dengar!
Bagi Malaysia, hujan pada waktu petang bukanlah gangguan. Sebaliknya, itulah alasan terbaik untuk duduk lebih lama, berbual lagi dan tambah satu lagi gelas minuman.
Malaysia juga tak pernah lokek dengan senyuman, terutama kepada kanak-kanak. Pak cik di kedai mamak, pengawal keselamatan, mak cik di pasar raya... semuanya mudah melemparkan senyuman. Kerana di sini, kasih sayang terhadap keluarga bukan hanya untuk ahli keluarga sendiri, tetapi juga kepada orang di sekeliling.
Mungkin itulah sebabnya ramai yang datang ke Malaysia akhirnya meninggalkan sebahagian daripada hati mereka di sini.
Kerana Malaysia bukan sekadar membuat orang berasa dialu-alukan. Malaysia membuatkan mereka berasa seolah-olah mereka memang sudah lama menjadi sebahagian daripada tempat ini.
Netizen turut tersentuh
Menjengah ke ruangan komen, ramai mengakui perkongsian wanita itu membuatkan mereka melihat semula keindahan negara sendiri daripada perspektif seorang orang luar.
"'Keluarga bukan sekadar terhad kepada keluarga sendiri'. Itulah ungkapan yang paling tepat untuk menggambarkan Malaysia. Terima kasih atas kata-kata yang begitu indah."
"Ini sangat manis… kadang-kadang kita sebagai rakyat tempatan terlupa untuk menghargai apa yang kita miliki sehinggalah ada orang luar yang melihat dan menyedarkan kita tentang semuanya."
"Awak buat saya rasa lebih bersyukur dan bangga menjadi rakyat Malaysia. Selamat menikmati masa anda di sini."
Baca juga:Kadang-kadang kita terlalu sibuk mencari keindahan di tempat lain sehingga terlupa menghargai apa yang ada di depan mata.
Hakikatnya, apa yang membuatkan Malaysia istimewa bukan sekadar tempat-tempat cantik atau makanan yang sedap. Tetapi rakyatnya.
Mungkin benar seperti kata wanita itu, Malaysia bukan sekadar sebuah negara untuk dilawati. Tetapi sebuah tempat yang membuatkan ramai meninggalkan sebahagian daripada hati mereka di sini.





