‘Minggu lalu meraikan, minggu ini melepaskan’

LocalEntertainment
2 Oct 2026 • 7:43 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Minggu lalu meraikan, minggu ini melepaskan’

KUALA LUMPUR – “Minggu lalu kami meraikan beliau, minggu ini kami buat tahlil untuk melepaskan beliau”.

Demikian kata pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima sewaktu ditemui pada khatam al-Quran dan tahlil buat Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang dianjurkan bersama adiknya,,Datin Seri Umie Aida, di Musollah Aisya, Titiwangsa, semalam.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, menyifatkan pertemuan anak-anak seni bersama arwah minggu lalu pada majlis Seniman Semeja adalah hadiah paling istimewa.

“Pertemuan minggu lalu bersama arwah seolah-olah satu pemberian yang sangat besar untuk orang seni.

“Saya bersyukur pada hari tersebut saya dapat menjaga arwah. Saya tolakkan kerusi roda beliau dan menjaga makan minumnya di majlis tersebut. Beliau duduk di sebelah saya sepanjang majlis itu.

“Arwah sempat main biola. Beliau tetap berusaha untuk menghiburkan kami. Selepas beliau main, beliau mengalirkan air mata,” kongsinya.

Bercakap mengenai majlis tahlil yang dianjurkan, Erma dan Umie mengundang anak-anak tahfiz untuk sesi khatam al-Quran pada sebelah petang.

Pada sebelah malam pula diadakan bacaan Yasin buat arwah yang dipimpin oleh Imam Masjid Negeri Selangor, Abdul Karim Omar.

Ramai anak seni tempatan mengambil kesempatan meluangkan masa untuk membaca Yasin antaranya Datuk Ziela Jalil, Liza Abdullah, Puteri Sarah Liyana, Aisha Retno, Datin Fouziah Ghous, Esma Daniel, Aziz M Osman, Zahida Rafik, Datin Heliza Helmi, Datuk Fauziah Nawi dan Farah Ahmad.

Sementara itu, Erma turut meluahkan kerisauan mengenangkan keadaan Tun Mahathir yang sedang berduka atas kehilangan isteri tercinta.

“Apa yang saya rasa ketika ini adalah saya tak dapat nak bayangkan keadaan Tun Mahathir. Saya cuma minta dan berharap kepada Allah supaya beri kekuatan kepada beliau,” ujarnya.

Terdahulu Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara pada pukul 9.20 pagi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya. – KOSMO! ONLINE.

The post ‘Minggu lalu meraikan, minggu ini melepaskan’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved