
Kota Kinabalu: Minggu Mini Thailand 2023, dengan kerjasama Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) 2023, bakal mencipta sejarah sebagai acara Thai pertama di Malaysia Timur dan dijangka membawa masuk dagangan eksport melebihi USD15 juta (RM70 juta).
Dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) serentak dengan SIE 2023 dari 21 hingga 24 Sept, acara itu akan menampilkan pelbagai reruai dalaman dan luaran yang mempamerkan budaya, masakan serta inovasi Thai yang terbaik.
Anjuran bersama Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur, Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP Malaysia), dan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, Malaysia, acara perdagangan rancak dan budaya ekstravaganza itu dijangka memberi pengalaman luar biasa untuk pengunjung dari semua lapisan masyarakat.



