Minta dikejutkan awal pagi jadi pesanan terakhir Arif Daniel sebelum maut

28 Jul 2026 • 6:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Minta dikejutkan awal pagi jadi pesanan terakhir Arif Daniel sebelum maut
Zaimizan bersama arwah anaknya, Muhammad Arif Daniel.
Image from: Minta dikejutkan awal pagi jadi pesanan terakhir Arif Daniel sebelum maut
Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Ab Mutalib menyantuni ibu arwah Muhammad Arif Daniel, Zaimizan di Unit Forensik Hospital Jengka di sini.
Image from: Minta dikejutkan awal pagi jadi pesanan terakhir Arif Daniel sebelum maut
Mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut.
Image from: Minta dikejutkan awal pagi jadi pesanan terakhir Arif Daniel sebelum maut
Jenazah Allahyarham Salbiah selesai dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Jengka dan akan dibawa di tanah Perkuburan Islam Paya Pasir, Chenor.

MARAN - [DIKEMAS KINI] Pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp supaya dikejutkan awal pagi menjadi komunikasi terakhir antara Muhammad Arif Daniel Mohd Norsha’ari, 20, bersama ibunya sebelum dia maut dalam kemalangan di Maran, awal pagi Selasa.

Ibu mangsa, Zaimizan Silong, 51, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu keluar dari rumah pada malam sebelum kejadian selepas memaklumkan mahu keluar bersama seorang rakan.

Menurutnya, Muhammad Arif Daniel yang bekerja sebagai pekerja kontrak di kawasan Chenor turut berpesan supaya dirinya dikejutkan awal pagi kerana perlu hadir bekerja kira-kira jam 8 pagi.

"Saya bangun pagi dan tengok dia sudah tiada di bilik. Saya ingat dia sudah keluar macam biasa untuk bekerja," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jengka pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, kemalangan berkenaan melibatkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Myvi dan Kancil.

Muhammad Arif Daniel merupakan penumpang Perodua Alza terkorban dalam nahas tersebut.

Sementara pemandu dan seorang lagi penumpang kereta itu cuma mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Hospital Temerloh untuk menerima rawatan.

Dua lagi mangsa iaitu pemandu Perodua Myvi, Masitah Mohd Soad, 59, bersama penumpangnya, Salbiah Mohamad Sah, 76, turut terkorban dalam kejadian itu.

Manakala pemandu Perodua Kancil disahkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

**media[3597758]**

Jenazah Muhammad Arif Daniel dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dalam Chenor.

Berkongsi lanjut, Zaimizan bagaimanapun tidak menyangka pagi itu menjadi detik terakhir buat anaknya selepas dimaklumkan anaknya terlibat dalam nahas tersebut.

Lebih menyayat hati, dia melalui lokasi kejadian ketika menghantar sarapan ke sebuah pejabat kerajaan sebelum mengetahui mangsa yang maut dalam nahas itu ialah anaknya.

**media[3597756]**

"Saya nampak mangsa sudah ditutup dan ada perasan kereta itu macam kereta kawan dia, tetapi saya nafikan dalam hati bahawa itu bukan anak saya.

"Saya langsung tidak sangka orang yang terbabit dalam kemalangan itu sebenarnya anak saya sendiri," katanya sebak.

Arwah ibu tidak pernah terlepas rutin solat Subuh berjemaah

Sementara itu, anak sulung Allahyarhamah Salbiah Mohamad Sah, Atan Abdul Ghani, 58, berkata, arwah ibunya tidak pernah meninggalkan rutin menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.

Menurutnya, ibunya keluar rumah sekitar pukul 5 hingga 5.20 pagi setiap hari dan akan dijemput jirannya, Masitah yang turut maut dalam kemalangan itu.

**media[3597759]**

"Kehilangan ibu amat dirasai kerana Allahyarhamah seorang yang penyayang dan sentiasa mengutamakan kebajikan anak-anak dan jiran tetangga," katanya ringkas.

Salbiah Mohamad Sah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Batu, Paya Pasir, Maran.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved