
MELAKA – Helah seorang lelaki yang berpura-pura menjadi ‘penyelamat’ selepas memulangkan telefon bimbit milik seorang wanita sebelum meminta ‘duit kopi’ RM200 akhirnya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Majistret Uthman Abd. Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhhamad Nazirul Jasmi, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap wanita berusia 36 tahun berkenaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 September lalu.
Mengikut pertuduhan, Muhhamad Nazirul didakwa dengan tujuan melakukan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa dengan meminta wang RM200 sebagai syarat untuk mendapatkan semula telefon bimbitnya.
Kesalahan itu dilakukan di tepi Sungai Melaka, Kampung Morten, kira-kira pukul 7.15 malam pada 1 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu bersama adiknya menyedari telefon bimbit jenis iPhone 17 Pro Max miliknya hilang.
Tidak lama kemudian, tertuduh menghampiri mangsa dan mendakwa rakannya sedang mengejar individu yang kononnya mengambil telefon bimbit berkenaan.
Tertuduh kemudiannya menyerahkan semula telefon itu kepada mangsa, namun meminta ‘duit kopi’ sebanyak RM200 sebelum jumlah tersebut diturunkan kepada RM50.
Mangsa yang berasa takut dan curiga enggan menyerahkan wang serta menyatakan mahu membuat laporan polis.
Bagaimanapun, tertuduh enggan memberikan nombor telefonnya dan sebaliknya terus meminta bayaran lebih rendah antara RM10 hingga RM20.
Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira perbuatan tertuduh yang menimbulkan ketakutan kepada mangsa.
Pendakwaan turut menekankan bahawa kejadian berlaku di kawasan tumpuan pelancong, sekali gus menjadikan perbuatan tersebut lebih serius kerana boleh menjejaskan rasa selamat orang ramai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman diringankan atas alasan perlu menanggung ibunya.
“Saya perlu menanggung emak,” rayunya kepada mahkamah.
Selepas mempertimbangkan hujah pendakwaan dan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkapan.
Kes berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas rakaman kejadian dimuat naik di Threads dan tular di media sosial.
Polis kemudian berjaya mengesan mangsa menerusi hantaran tersebut sebelum siasatan membawa kepada penahanan tertuduh.
Rakaman yang tular itu dipercayai menunjukkan modus operandi tertuduh yang mengambil telefon bimbit mangsa sebelum berpura-pura membantu mencarinya dan kemudian meminta wang selepas telefon berkenaan ‘ditemui’.
The post Minta ‘duit kopi’ RM200 lepas pulangkan iPhone curi, lelaki dipenjara empat bulan appeared first on MYBERITA.






