liza03/06/2026 - 14:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun – MISC Berhad terus memperkukuh penglibatannya dalam segmen perkapalan karbon dioksida cecair (LCO₂) selepas memperoleh kontrak pajakan jangka panjang kedua daripada Northern Lights JV DA bagi pembinaan sebuah lagi kapal pengangkut khas LCO₂.
Kontrak berkenaan diperoleh menerusi kerjasama strategik MISC dengan syarikat perkapalan Jepun, Kawasaki Kisen Kaisha atau K LINE, pada 29 Mei 2026.
Ia menyusuli kontrak pertama yang diterima pada 29 Januari lalu dan mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap keupayaan MISC dalam segmen pengangkutan karbon yang sedang berkembang pesat di Eropah.
Kontrak tersebut melibatkan perjanjian pajakan jangka panjang atau Time Charter Party (TCP), di mana kapal yang dibina akan disewakan kepada Northern Lights bagi menyokong operasi pengangkutan karbon dioksida di rantau berkenaan.
Northern Lights adalah projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) akses terbuka pertama di Eropah yang dibangunkan bagi menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon industri di benua itu.
Kapal baharu tersebut akan dimiliki secara bersama oleh MISC dan K LINE menerusi struktur usaha sama sedia ada antara kedua-dua syarikat berkenaan.
Menurut MISC, kapal itu direka khas dengan kapasiti 12,000 meter padu untuk mengangkut karbon dioksida yang ditangkap dan dicairkan daripada hab-hab perindustrian di seluruh Eropah ke kemudahan penyimpanan kekal luar pesisir di Norway.
Langkah itu dilihat sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur pengangkutan karbon yang boleh diskalakan berikutan usaha negara-negara Eropah mempercepat agenda peralihan tenaga dan penyahkarbonan industri.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, kontrak kedua itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi jangka panjang segmen perkapalan LCO₂.
Beliau berkata, projek tersebut turut mengukuhkan kedudukan MISC dalam pasaran yang semakin berkembang dengan membangunkan keupayaan, kepakaran serta kerjasama strategik yang diperlukan untuk menyokong rantaian nilai pengurusan karbon global.
“Pada masa sama, langkah ini selaras dengan strategi MISC di bawah teras Tenaga Baharu Menguntungkan yang memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian maritim bagi menyokong peralihan tenaga rendah karbon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, MISC komited untuk terus bekerjasama dengan rakan strategik industri bagi memperkukuh infrastruktur dan keupayaan yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan ekosistem CCS global.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan peralihan tenaga dapat dilaksanakan secara selamat, teratur dan mampan selain memenuhi keperluan pelanggan komersial yang semakin berkembang di seluruh Eropah.
Kedua-dua kapal pengangkut LCO₂ yang dianugerahkan kepada MISC dan K LINE itu akan menyokong armada sedia ada Northern Lights serta membantu meningkatkan kapasiti projek berkenaan.
Dalam pada itu, kapal tersebut akan dilengkapi dengan sistem pendorongan dwi-bahan api LNG yang mampu meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, selaras dengan komitmen MISC, syarikat maritim antarabangsa di bawah kumpulan PETRONAS, terhadap usaha penyahkarbonan dan pembangunan penyelesaian tenaga baharu global. - DagangNews.com






