MISC labur RM40 juta taja 153 pelajar di Akademi Laut Malaysia

06/10/2025 - 10:04
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 6 Okt – MISC Berhad memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan modal insan negara dengan menyalurkan RM40 juta bagi melahirkan generasi baharu pemimpin maritim Malaysia.
Dana tersebut disalurkan melalui Program Tajaan Pendidikan MISC, yang akan memberi manfaat kepada 153 pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang maritim di Akademi Laut Malaysia (ALAM) bagi tempoh 3 tahun 5 bulan.
Tajaan berkenaan meliputi yuran pengajian, latihan dan elaun sara hidup, bagi membolehkan para kadet mengikuti program diploma dalam Pengajian Nautika, Kejuruteraan Marin serta Teknologi Elektro Marin yang diperkenalkan mulai tahun ini.
Dengan pelaksanaan inisiatif ini, MISC kini telah menaja keseluruhan 776 kadet maritim, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama pembangunan bakat maritim negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, tumpuan terhadap pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang memberi impak besar kepada masa depan industri.
“Di MISC, kami percaya pendidikan merupakan pemangkin perubahan yang paling berkesan.
“Tajaan ini bukan hanya bantuan kewangan, tetapi pelaburan dalam potensi manusia yang akan membentuk masa depan industri maritim,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tajaan itu membolehkan pelajar berpotensi meneruskan pengajian dan membuka laluan kepada kerjaya profesional yang mampu mengubah masa depan mereka serta keluarga.
Sejak tahun 1977, MISC memainkan peranan penting dalam membangunkan tenaga kerja maritim negara sebagai antara pengasas Malaysian Training and Education for Seamen (MATES).
Sepanjang hampir lima dekad, lebih 15,000 profesional maritim telah dilatih di ALAM, dengan ramai daripadanya kini berkhidmat di peringkat kanan di dalam dan luar negara.
Pada tahun 2006, ALAM mencipta sejarah apabila menerima kumpulan pertama kadet wanita dalam program Diploma Pengajian Nautika dan Diploma Kejuruteraan Marin, menjadikannya antara akademi terawal di rantau ini yang membuka peluang sama rata kepada wanita dalam bidang latihan dan pendidikan maritim.
Tambahnya, langkah itu turut memperkukuh nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat dalam memastikan kemajuan dicapai secara bertanggungjawab dan mampan.
“Pelaburan dalam pembangunan bakat maritim bukan sahaja menyokong aspirasi nasional ke arah industri tenaga dan perkapalan yang lestari, tetapi juga memastikan Malaysia kekal sebagai hab maritim berdaya saing di rantau ini,” katanya. - DagangNews.com
standard
