Tiada isu pendaki kanak-kanak, keluarga ada permit – Polis

8 Sep 2026 • 11:33 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiada isu pendaki kanak-kanak, keluarga ada permit – Polis

BAGAN SERAI – Polis akan merakam keterangan keenam-enam pendaki termasuk dua kanak-kanak yang diselamatkan selepas gagal keluar mengikut jadual dari kawasan pendakian merentas tiga puncak gunung di Hulu Perak, 3 September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, rakaman keterangan itu adalah sebahagian daripada dokumentasi susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan bagi mengesan kesemua pendaki terbabit.

Menurut beliau, kesemua mereka turut akan dibawa ke klinik bagi menjalani pemeriksaan serta dokumentasi sebelum dibenarkan pulang.

“Mereka akan dibawa ke klinik untuk dokumentasi. Lepas itu mungkin kita akan benarkan mereka balik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian hari ini.

Mohd. Alwi berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kesemua pendaki berada dalam keadaan sihat selepas berjaya ditemui pasukan SAR.

Beliau berkata, tiada isu berhubung kehadiran dua kanak-kanak dalam pendakian berkenaan kerana keluarga terbabit mempunyai permit untuk melakukan aktiviti tersebut.

“Dia sebenarnya tak ada isu benda ini sebab dia ada permit. Dalam permit itu memang dimasukkan butir-butir berkaitan dengan keluarga mereka. Dia ada permitlah,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, operasi SAR digerakkan selepas keenam-enam pendaki terbabit gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.

Mereka dilaporkan memulakan pendakian merentas tiga puncak gunung iaitu Gerah, Bilah dan Bieh (Trans GGB) pada 29 Ogos lalu.

Keenam-enam pendaki itu ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9.

Rakaman keterangan semua pendaki dijangka membantu polis mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perjalanan mereka sepanjang aktiviti pendakian serta keadaan yang menyebabkan mereka gagal keluar mengikut jadual ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

The post Tiada isu pendaki kanak-kanak, keluarga ada permit – Polis appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved