
PETALING JAYA – Pengasas Misi, Nur Ahmad Faiz berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh susulan dakwaan kebocoran data melibatkan platform berkenaan yang tular di media sosial hari ini.
Beliau berkata, pasukan keselamatan siber Misi memulakan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat berhubung dakwaan tersebut bagi mengesahkan kesahihannya.
“Kami memandang serius setiap dakwaan yang menyentuh keselamatan data dan privasi pengguna kami.
“Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, pasukan keselamatan siber kami telah memulakan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi mengesahkan kesahihan dakwaan ini serta mengenal pasti sama ada berlaku sebarang akses tanpa kebenaran terhadap sistem kami,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Nur Ahmad Faiz, platform Misi dibangunkan dengan pelbagai lapisan kawalan keselamatan termasuk penyulitan data, pemantauan sistem secara berterusan, kawalan capaian ketat serta penilaian keselamatan secara berkala.
Katanya, pihaknya tidak memandang ringan dakwaan berkenaan dan siasatan kini sedang giat dijalankan dengan penuh teliti.
“Kami juga sedang berhubung dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses siasatan.
“Kerjasama itu selaras dengan tanggungjawab kami di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya.
Terdahulu, tular satu hantaran oleh akaun Dark Web Intelligence mendakwa pangkalan data yang dikaitkan dengan Misi Rakyat ditawarkan untuk dijual oleh pihak tidak dikenali.
Menurut dakwaan tersebut, data berkenaan dikatakan terkini sehingga 7 September lalu dan membabitkan 300,518 rekod pelanggan termasuk nama, nama pengguna, e-mel, nombor telefon, alamat serta koordinat lokasi.
Turut didakwa terlibat ialah 22,508 rekod penghantar yang mengandungi butiran identiti, nombor kad pengenalan, maklumat kenderaan dan lesen, alamat serta lokasi Sistem Penentududukan Global (GPS) semasa.
Selain itu, sebanyak 28,562 rekod vendor didakwa mengandungi maklumat perniagaan dan hubungan, butiran bank serta alamat, selain data transaksi e-dompet yang didakwa merangkumi kira-kira 1.88 juta transaksi.
Susulan dakwaan itu, Nur Ahmad Faiz turut menasihatkan pengguna Misi supaya berwaspada terhadap sebarang panggilan, e-mel atau pesanan mencurigakan yang mendakwa datang daripada platform berkenaan.
“Sementara siasatan dijalankan, kami menasihatkan para pengguna supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang panggilan, e-mel atau pesanan yang mencurigakan yang mendakwa datang daripada Misi, dan tidak berkongsi maklumat peribadi atau kata laluan dengan mana-mana pihak.
“Kami komited untuk mengendalikan perkara ini secara telus dan bertanggungjawab. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi kami dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Misi siasat dakwaan kebocoran data lebih 300,000 pelanggan appeared first on Kosmo Online.





