
PETALING JAYA: Seramai 12 individu telah dirakamkaN percakapan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sebanyak 12 laporan berkaitan isu berkenaan diterima pihaknya setakat hari ini.
“Rakaman percakapan Tan Sri Abdul Hadi Abdul Awang akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, bagi kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam.
Katanya, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Masyarakat juga digesa menggunakan platform media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.- UTUSAN
The post 12 saksi sudah dirakam percakapan, Abdul Hadi dipanggil dalam masa terdekat appeared first on Utusan Malaysia.






