Siasatan Terhadap Pemimpin Politik Bukan Kerana Dendam Atau Serangan Politik - PM

LocalPolitics
6 Sep 2026 • 9:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Siasatan Terhadap Pemimpin Politik Bukan Kerana Dendam Atau Serangan Politik - PM

SERDANG - Siasatan untuk semua dakwaan rasuah yang melibatkan beberapa tokoh politik tidak didorong unsur dendam, iri hati atau sebarang agenda bermotif politik.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan terhadap mana-mana individu merupakan bidang kuasa agensi penguatkuasaan dan bukannya arahan daripada beliau.

“Orang boleh kata ini soal dendam atau iri hati, tetapi saya bukan pihak yang menjalankan siasatan. Itu tugas agensi penguatkuasaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penutupan MAHA 2026 di MAEPS, hari ini.

Anwar menjelaskan, setiap institusi mempunyai peranan dan bidang kuasa masing-masing dalam proses penguatkuasaan undang-undang.

Menurut beliau, agensi penguatkuasaan bertanggungjawab menjalankan siasatan dan mengumpulkan fakta, manakala keputusan untuk membawa sesuatu kes ke mahkamah terletak pada Jabatan Peguam Negara.

Mahkamah pula, katanya, mempunyai kuasa untuk menentukan keputusan selepas sesuatu kes dibicarakan.

“Tanggungjawab utama saya adalah memastikan jentera pentadbiran kerajaan berfungsi berdasarkan undang-undang dan prinsip tadbir urus yang betul,” katanya. 

Dalam masa sama, beliau menegaskan, usaha membanteras rasuah secara sistemik serta menangani ketirisan kewangan negara tidak boleh dikompromi.

Beberapa tokoh berprofil tinggi sebelum ini telah didakwa di mahkamah, manakala siasatan terhadap beberapa individu lain masih sedang dijalankan.

Penutupan MAHA 2026 hari ini menandakan berakhirnya edisi ke-14 pameran berkenaan yang berlangsung selama 10 hari sejak 28 Ogos lalu di MAEPS.

MAHA merupakan antara platform utama negara dalam mengetengahkan teknologi pertanian, memperkukuh jaringan perniagaan sektor agromakanan serta menghubungkan pemain industri dalam bidang berkaitan. - Getaran, 6 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved