MITI masih tunggu keputusan BYD mengenai kilang EV di Tanjung Malim

LocalCars
5 Aug 2026 • 5:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MITI masih tunggu keputusan BYD mengenai kilang EV di Tanjung Malim Image from: MITI masih tunggu keputusan BYD mengenai kilang EV di Tanjung Malim liza05/08/2026 - 17:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi daripada BYD berhubung status cadangan pelaburannya untuk membangunkan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) di Tanjung Malim, Perak.

 

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan belum dimaklumkan sama ada syarikat dari China itu akan meneruskan, menangguhkan atau mengubah rancangan pelaburan berkenaan kerana keputusan tersebut bergantung kepada pertimbangan komersial syarikat.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Low Kian Chuan pada sesi soal jawab di Dewan Negara yang ingin tahu perkembangan terkini mengenai cadangan pelaburan BYD di Malaysia serta status pematuhan syarat bagi melayakkan syarikat menikmati insentif di bawah skim pemasangan tempatan (CKD).

 

Kerajaan terus galakkan pemasangan EV

Johari berkata, kerajaan kekal komited menggalakkan pemasangan kenderaan elektrik di Malaysia menerusi pelbagai insentif bagi memperkukuh industri automotif tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.

 

Menurut beliau, pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan CKD masih diberikan sehingga 31 Disember 2027.

 

Bagaimanapun, katanya, syarikat yang ingin menikmati kemudahan tersebut perlu mematuhi Peraturan Kastam 1988 serta memenuhi syarat lain yang ditetapkan oleh kerajaan.

 

Keputusan di tangan syarikat


Johari menegaskan kerajaan menyediakan dasar dan insentif untuk menarik pelaburan, namun keputusan sama ada sesuatu projek akan diteruskan atau sebaliknya kekal menjadi hak syarikat yang melabur.

 

Justeru, sehingga kini status pelaburan BYD di Tanjung Malim masih belum dapat dipastikan memandangkan MITI belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada syarikat berkenaan.

 

Dalam pada itu, Low turut meminta kerajaan menyenaraikan pengeluar EV yang telah memulakan pelaburan fizikal di Malaysia, termasuk pembinaan kilang pemasangan.

 

Johari berkata, Malaysia kini mempunyai rangkaian pengeluar automotif yang kukuh dengan beberapa pengeluar peralatan asal (OEM) mengendalikan kilang pemasangan kenderaan masing-masing di seluruh negara. 

 

Selain Proton dan Perodua, syarikat yang memiliki operasi pemasangan sendiri termasuk Honda Malaysia di Pagoh, Johor; Toyota menerusi Assembly Services di Bukit Raja, Selangor; Volvo Car Manufacturing Malaysia di Shah Alam, Selangor; Tan Chong Motor Assemblies di Segambut, Kuala Lumpur dan Serendah, Selangor.

 

Turut memperkukuh ekosistem automotif negara ialah Chery Corporate Malaysia yang beroperasi di Shah Alam, Selangor serta Stellantis Malaysia yang menjalankan aktiviti pemasangan di Gurun, Kedah.

 

Kehadiran pengeluar-pengeluar ini mencerminkan keyakinan syarikat automotif global terhadap Malaysia sebagai hab pemasangan kenderaan serantau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved