johardy08/10/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt - MMM Group Berhad akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 12 Oktober 2026 selepas bursa itu menolak rayuannya terhadap penolakan pelan penyusunan semula bagi keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
Jawatankuasa Penyenaraian Bursa mengekalkan keputusan bursa itu pada 10 Julai selepas meneliti semua fakta, keadaan dan representasi bertulis yang dikemukakan MMM Group. "Alasan dalam rayuan tersebut tidak mewajarkan perubahan kepada keputusan terdahulu," menurut pemakluman syarikat di Bursa Malaysia pada Rabu.
MMM Group berkata, syarikat itu akan terus beroperasi sebagai entiti tidak tersenarai dan meneruskan penstrukturan semula korporat selepas penyahsenaraian.
Pemegang saham akan terus memiliki saham mereka dan masih boleh mendapat manfaat daripada prestasi syarikat. Bagaimanapun, saham tersebut tidak lagi disenaraikan atau didagangkan di Bursa Malaysia.
MMM Group yang dahulunya dikenali sebagai Asia Media Group Bhd berada di bawah klasifikasi PN17 sejak Oktober 2019 selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah 25% daripada modal saham terbitan. Dagangan sahamnya digantung sejak 7 Ogos susulan penolakan pelan tersebut, manakala rayuan dikemukakan pada bulan yang sama.
Pelan yang diumumkan pada Januari 2026 merangkumi terbitan hak berserta waran dan penempatan persendirian untuk mengumpul sehingga RM39.97 juta. Ia turut mencadangkan penyatuan setiap 10 saham sedia ada menjadi satu saham serta pengambilalihan syarikat pengiklanan luar EDSB Outdoor Sdn Bhd pada harga RM16 juta.
Harga pengambilalihan RM16 juta dipersoal Bursa
Ketika menolak pelan itu, Bursa menyatakan harga pengambilalihan RM16 juta yang dicadangkan jauh lebih tinggi berbanding aset bersih EDSB yang hanya sekitar RM800,000.
Bursa turut mempersoalkan kemampanan perniagaan EDSB. Hasil syarikat itu merosot kepada RM6.09 juta pada tahun kewangan 2025 berbanding RM8.62 juta pada tahun kewangan 2023, manakala kerugian dicatatkan dalam tiga daripada empat tahun kewangan sebelumnya.
Selain itu, Bursa membangkitkan kebimbangan mengenai isu pelesenan tapak papan iklan EDSB serta perbelanjaan modal tambahan yang diperlukan untuk menukar lebih banyak papan iklan statik kepada paparan digital.
MMM Group merancang membelanjakan RM12.16 juta dalam tempoh 36 bulan untuk menukar 26 papan iklan statik kepada papan iklan digital.
Dari segi prestasi kewangan, keuntungan bersih MMM Group meningkat kepada RM1.26 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026 daripada RM159,000 setahun sebelumnya, dibantu perbelanjaan pentadbiran dan kos pembiayaan yang lebih rendah.
Bagaimanapun, hasil merosot 29% kepada RM3.51 juta berbanding RM4.91 juta pada suku sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com




