Permintaan kukuh segmen perlombongan di Australia diramal pacu pendapatan Sime Darby pada FY26 - HLIB

12/09/2025 - 15:01
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 12 Sept - Permintaan kukuh segmen perlombongan di Australia dijangka menjadi pemacu utama perniagaan perindustrian Sime Darby Berhad dan menyokong pertumbuhan pendapatan pada tahun tahun kewangan 2026 (FY26), kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Selepas mengadakan lawatan tapak baru-baru ini, firma penyelidikan itu mendapat gambaran lebih jelas mengenai perniagaan perindustrian Sime Darby.
“Digabungkan dengan keputusan kukuh 4QFY25 baru-baru ini, kami menjadi lebih positif terhadap prospek perniagaan perindustrian Sime menjelang FY26.
“Ia didorong permintaan kukuh terhadap sistem tenaga di Malaysia, terutamanya bagi menyokong pembangunan pusat data serta pemulihan margin di Australia yang dipacu kenaikan harga alat ganti berkuat kuasa Julai 2025,” katanya dalam satu nota kajian.
Dalam perkembangan berasingan, HLIB berkata, China Motor menunjukkan tanda-tanda positif dengan campur tangan kerajaan dan pengurangan tekanan persaingan oleh BYD.
Selain itu, sumbangan UMW Holdings Berhad juga dijangka bertambah baik pada suku-suku akan datang.
“Kami menjangkakan sumbangan kukuh UMW yang berterusan dalam suku-suku mendatang, disokong jualan Perodua dan Toyota yang secara bermusim lebih tinggi pada separuh kedua tahun.
“Kami juga melihat pemulihan dalam segmen pembuatan serta peningkatan semula dalam segmen peralatan yang diyakini bertambah baik pada suku-suku akan datang,” katanya.
HLIB menjangkakan Sime Darby mengekalkan pembayaran dividen sebanyak 13 sen sesaham, yang diterjemahkan kepada hasil lebih 6% bagi FY26 hingga FY27.
“Dengan prospek yang semakin baik, kami menjangkakan Sime Darby mengekalkan kedudukannya dalam semakan akan datang bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI,” katanya.
HLIB mengekalkan saranan "beli" terhadap Sime Darby dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.50 sesaham. - DagangNews.com
standard
