PublicInvest mulakan liputan ke atas CBH Engineering dipacu peningkatan permintaan pusat data, kata PublicInvest

19/09/2025 - 11:21
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 19 Sept - Public Investment Bank (PublicInvest) memulakan liputan ke atas CBH Engineering Holding Berhad dengan saranan "outperform" pada harga sasaran (TP) 41 sen dipacu permintaan pusat data serta projek pembangunan hartanah kediaman, komersial dan industri.
Katanya, CBH Engineering merupakan penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) yang mengkhusus dalam rumusan menyeluruh bagi sistem agihan bekalan elektrik.
Rekod prestasi kukuh kumpulan dalam sektor swasta, bersama dengan pendaftaran Gred G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi kategori Bangunan, Kejuruteraan Awam serta Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, membolehkan kumpulan membida dan melaksanakan projek tanpa had nilai kontrak.
Firma penyelidikan itu berkata, peranan CBH merangkumi reka bentuk, pembekalan, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem agihan bekalan elektrik untuk premis komersial, industri dan kediaman.
"Ia melibatkan rangkaian sistem elektrik, peralatan dan komponen yang digunakan untuk mengagihkan serta mengawal aliran elektrik daripada pencawang bekalan (sumber kuasa utama) kepada bangunan atau infrastruktur.
"Kumpulan ini turut terlibat dalam mereka bentuk dan membina pencawang dalam premis pengguna akhir bagi mendapatkan bekalan elektrik daripada Grid Nasional serta mengagihkannya ke kemudahan premis pengguna tersebut," katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest berkata, CBH mengintegrasikan sambungan kepada Grid Nasional, pencawang, transformer, suis gear, papan suis, papan agihan, panel pusat kawalan motor, panel kawalan proses, bank kapasitor, sistem arus ulang-alik/arus terus (AC/DC), pendawaian elektrik, suis dan soket yang penting untuk mengoperasikan jentera elektrik, peralatan, perkakas dan peranti.
Selain itu katanya, kumpulan ini turut menggabungkan peranti dan sistem perlindungan serta pengawalan arus yang mematuhi piawaian industri dan peraturan tempatan bagi memastikan penghantaran elektrik yang selamat dan berkualiti tinggi.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mencatat pertumbuhan hasil yang kukuh pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 59% sepanjang FY21 hingga FY24.
Pertumbuhan itu didorong oleh sistem M&E, iaitu penyumbang hasil terbesar kumpulan yang merangkumi lebih daripada 99% jumlah hasil.
Dari segi jenis bangunan, pertumbuhan hasil tersebut diperoleh daripada projek pencawang dan bangunan industri, khususnya pencawang 275kV untuk pusat data.
"Margin untung kasar CBH juga meningkat secara konsisten sepanjang tempoh tersebut, daripada 18% pada FY21 kepada 27% pada FY24.
"Pertumbuhan ini didorong hasil lebih tinggi, ekonomi yang lebih baik, serta kerumitan sebahagian projek pencawangnya yang membawa margin lebih tinggi," katanya.
Melangkah ke hadapan, PublicInvest menjangkakan CBH mencatatkan CAGR keuntungan bersih tiga tahun sebanyak 7.5%, mencapai RM51.9 juta menjelang FY27.
Katanya, unjuran itu disokong buku tempahan belum dibil sebanyak RM450 juta, dengan projek pusat data menyumbang lebih 80% daripada jumlah tersebut.
"Buku tempahan ini memberikan jangkaan pendapatan untuk satu hingga dua tahun dan pada masa sama, kumpulan itu turut meluaskan fokusnya kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui penglibatan aktif dalam tender, khususnya bagi projek 33kV dan 132kV.
"Walaupun kontrak TNB lazimnya mempunyai margin yang lebih rendah tetapi ia menawarkan saluran strategik untuk memelbagaikan hasil di luar projek pusat data serta membina asas pendapatan berulang yang lebih mampan untuk jangka panjang," katanya.- DagangNews.com
standard

