Kinergy raih kontrak elektrikal pusat data RM47.5 juta daripada Gamuda Engineering

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 1:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kinergy raih kontrak elektrikal pusat data RM47.5 juta daripada Gamuda Engineering Image from: Kinergy raih kontrak elektrikal pusat data RM47.5 juta daripada Gamuda Engineering hamden12/10/2026 - 13:08 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt - Kinergy Advancement Berhad (Kinergy) memperoleh kontrak bernilai RM47.5 juta daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd bagi melaksanakan pakej elektrikal untuk pembangunan pusat data berskala besar di Bandar Spring Hill, Port Dickson.

 

Kinergy dalam kenyataan memaklumkan, kontrak itu merangkumi kerja kejuruteraan, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan infrastruktur elektrikal teras serta struktur utama pusat data berkenaan.

 

Skop kerja turut meliputi infrastruktur pengagihan voltan tinggi dan voltan rendah, pencawang dan peralatan suis, pengubah, pendawaian kabel, pengagihan kuasa, sistem pencahayaan, bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS), pengecasan kenderaan elektrik (EV), serta sistem kawalan dan antara muka berkaitan.

 

Penganugerahan kontrak itu menandakan perkembangan Kinergy dalam sektor pusat data selepas Kumpulan melaksanakan kerja pemasangan kabel bagi projek pusat data EdgeConneX pada 2024 menerusi struktur usaha sama.

 

Kinergy berkata, kontrak terbaharu itu membolehkan Kumpulan melangkah ke skop kerja elektrikal teras dan struktur utama yang lebih besar secara kendiri, sekali gus mencerminkan keupayaan memanfaatkan kepakaran kejuruteraan elektrikal sedia ada untuk merebut peluang infrastruktur pusat data yang semakin khusus.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy, Datuk Dr. Lai Keng Onn berkata, kontrak bernilai RM47.5 juta itu mencerminkan peningkatan pengiktirafan terhadap Kinergy dalam sektor pusat data serta kepentingan keupayaan teknikalnya dalam pembangunan infrastruktur berspesifikasi tinggi.

 

Beliau berkata, sektor pusat data Malaysia sedang memasuki fasa pelaburan yang signifikan, dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan pelaburan diluluskan bernilai RM95.8 bilion dalam sektor pusat data dan pengkomputeran awan pada separuh pertama 2026.

 

“Seiring dengan peningkatan skala dan kerumitan pembangunan, kami melihat permintaan yang semakin tinggi terhadap kejuruteraan khusus dan infrastruktur kuasa, sekali gus mewujudkan peluang besar untuk Kinergy memperluas penyertaan dalam sektor ini,” katanya.

 

Menurut Kinergy, kontrak itu turut mengukuhkan kedudukan Kumpulan dalam ekosistem pusat data serta memperluas penggunaan keupayaan kejuruteraan dan tenaga dalam pembangunan infrastruktur yang semakin canggih.

 

Kumpulan akan terus meneroka peluang secara terpilih dengan mengambil kira kapasiti pelaksanaan, kualiti komersial dan pulangan terlaras risiko bagi menyokong pertumbuhan mampan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved