
Pusingan keempat PETRONAS Sprinta Malaysian Cub Prix Championship (MCP) 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, hujung minggu ini bakal menjadi satu lagi pentas penting buat Modenas Z15 GT yang kini memasuki fasa pembangunan dalam perlumbaan.
Berdasarkan senarai penyertaan, tujuh buah Z15 GT bakal beraksi dalam kategori Pro-Am Cup A dan B pada pusingan kali ini.
Sebagai jentera baharu dalam musim 2026, cabaran utama Z15 GT ialah kekurangan data perlumbaan untuk dijadikan asas dalam menentukan setup terbaik bagi setiap litar. Berbeza dengan jentera yang sudah lama beraksi dalam MCP, proses pembangunan Z15 GT perlu bermula hampir daripada sifar.
Pada Pusingan 1, beberapa pasukan masih menggunakan enjin standard untuk mengumpul data asas, manakala sistem ekzos perlu diolah sendiri kerana produk aftermarket khusus masih terhad. ECU juga perlu disesuaikan menggunakan unit daripada model lain.
Namun, perkembangan mula kelihatan selepas beberapa pusingan. Data yang dikumpulkan membantu pasukan memperbaiki catatan masa, handling serta prestasi kuasa dan torque enjin.
Dari aspek pengendalian, Z15 GT dilihat mempunyai asas yang baik dan antara kekuatan utamanya ialah handling. Dengan penglibatan pasukan R&D Modenas serta pasukan-pasukan yang menggunakan Z15 GT, proses pertukaran maklum balas turut membantu mempercepatkan pembangunan.
Kehadiran RCB sebagai official third party bagi produk aftermarket juga memberikan satu lagi dimensi kepada perkembangan jentera ini. Dengan lebih banyak komponen khusus dapat dibangunkan, Z15 GT berpotensi menjadi semakin kompetitif sepanjang musim.
Batu Kawan bakal menjadi satu lagi ujian untuk melihat sejauh mana perkembangan jentera ini selepas tiga pusingan perlumbaan.
The post Modenas Z15 GT Terus Berevolusi Dalam MCP 2026 appeared first on TW Media.




