
Bagi pasukan McTajam, saingan PETRONAS Sprinta Malaysian Cub Prix 2026 bersama Modenas Z15 GT bukan sekadar soal mengejar keputusan perlumbaan, tetapi turut menjadi proses panjang untuk membangunkan sebuah jentera baharu.
Menurut pasukan itu, musim ini bermula dengan cabaran besar apabila hampir tiada data perlumbaan untuk dijadikan rujukan. Pada Pusingan 1, mereka menggunakan enjin standard bagi mendapatkan data asas, manakala sistem ekzos diolah sendiri kerana belum terdapat produk aftermarket khusus. ECU pula menggunakan unit daripada model motosikal lain, termasuk keluaran KZR.
Namun selepas tiga pusingan, McTajam mula melihat perkembangan positif dari segi catatan masa, handling, kuasa dan torque enjin. Handling Z15 GT juga dianggap antara kekuatan utama jentera tersebut, manakala sistem suspensi masih menggunakan unit standard sementara menunggu hasil R&D daripada JDS.
Dalam masa sama, Modenas turut menyediakan sokongan berbentuk bajet serta 50 peratus diskaun alat ganti, membantu pasukan mengawal kos pembangunan dan perlumbaan.
Pusingan Batu Kawan kali ini pula cukup istimewa kerana ia merupakan home race McTajam. Pasukan bukan sahaja mahu mencatat keputusan lebih baik, tetapi turut menggunakan MCP sebagai platform memperkenalkan Z15 GT kepada pengguna.
Mereka aktif berinteraksi dengan komuniti pemilik Z15 GT melalui kumpulan WhatsApp, berkongsi pandangan mengenai servis, penjagaan serta kesesuaian minyak enjin.
McTajam juga sedang berusaha menarik lebih banyak penaja dan pemain industri untuk menghasilkan produk aftermarket khusus Z15 GT, manakala penglibatan RCB sebagai official third party membuka ruang lebih besar kepada pembangunan aksesori dan komponen perlumbaan untuk jentera tersebut.
The post McTajam Bawa Z15GT Ke Home Race Batu Kawan appeared first on TW Media.




