MOF kekal bertegas di Parlimen: GST tidak akan dilaksanakan semula

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 10:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MOF kekal bertegas di Parlimen: GST tidak akan dilaksanakan semula Image from: MOF kekal bertegas di Parlimen: GST tidak akan dilaksanakan semula johardy12/11/2026 - 10:21 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov - Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan kerajaan tidak akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau memperkenalkan cukai penggunaan seumpamanya buat masa ini, mengambil kira tahap pendapatan isi rumah majoriti rakyat Malaysia yang masih rendah.

 

Sebaliknya MOF berkata, kerajaan akan terus menambah baik sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada secara berkala bagi memenuhi keperluan industri, di samping melindungi pengguna daripada tekanan kewangan tambahan.

 

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Khamis, MOF mengakui GST mempunyai beberapa kelebihan, namun sebarang perubahan terhadap sistem percukaian negara perlu mengambil kira kemampuan rakyat untuk membayar cukai.

 

Penjelasan itu diberikan sebagai menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berhubung cadangan memperkenalkan sistem percukaian hibrid yang menggabungkan elemen SST dan GST.

 

Menurut kementerian itu, GST berpotensi mengenakan beban relatif lebih tinggi terhadap isi rumah berpendapatan rendah kerana golongan berkenaan lazimnya membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk penggunaan harian.

 

Walaupun GST mengenakan kadar cukai yang sama kepada semua pengguna, kesannya boleh bersifat regresif apabila golongan berpendapatan rendah terpaksa memperuntukkan bahagian pendapatan yang lebih besar untuk membayar cukai penggunaan.

 

Kerajaan pertahan sistem SST sedia ada

MOF menegaskan, sebarang potensi peningkatan hasil kerajaan melalui GST perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kesan kewangannya terhadap rakyat.

 

Menurut kementerian itu, SST menawarkan fleksibiliti lebih besar berbanding GST kerana perniagaan tidak semestinya memindahkan keseluruhan beban cukai kepada pengguna akhir.

 

Syarikat mempunyai pilihan untuk menyerap sebahagian kos percukaian dan bukannya memindahkan semuanya kepada pelanggan, sekali gus berpotensi mengehadkan kesan terhadap harga barangan dan perkhidmatan.

 

Kementerian itu turut menjelaskan, rangka kerja SST sedia ada sudah menggabungkan beberapa kelebihan kedua-dua sistem percukaian, termasuk langkah mengurangkan kesan cukai bertindih dalam rantaian bekalan.

 

Sehubungan itu, SST akan terus dikaji dan ditambah baik secara berkala bagi memenuhi keperluan industri, selain memastikan kepentingan perniagaan dan pengguna kekal seimbang.

 

Kerajaan terbuka serap elemen GST dalam SST

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menyatakan kerajaan terbuka untuk meneliti beberapa elemen GST yang boleh diterapkan dalam SST sebagai sebahagian usaha membangunkan sistem percukaian lebih progresif.

 

Bagaimanapun, Anwar berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan mengembalikan GST secara menyeluruh kerana langkah itu berpotensi meningkatkan beban cukai terhadap rakyat.

 

Beliau menegaskan, kerajaan bersedia mengkaji kaedah menambah baik sistem percukaian negara, namun pelaksanaan GST perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap pengguna.

 

Pendirian terbaharu MOF itu mengukuhkan pendekatan kerajaan untuk melaksanakan penambahbaikan secara berperingkat terhadap sistem cukai penggunaan sedia ada, berbanding mengembalikan GST secara menyeluruh. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved