
SEPANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain tiba di Kompleks Mahkamah Sepang pukul 7.30 pagi tadi.
Beliau yang berpakaian sut hitam lengkap tiba diiringi beberapa pegawai AKPS.
Mohd Suhaily akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada 28 September lalu.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, siasatan kes itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
Mohd Khalid berkata, setakat ini sebanyak 25 saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku pada 28 Sept lepas.
Mohd Shuhaily sebelum ini menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan, susulan video tular yang memaparkan beliau memarahi dua individu di KLIA Terminal 1.
Tinjauan di Mahkamah Sepang mendapati, lebih 30 pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar daripada pelbagai agensi berkumpul seawal 7 pagi bagi mengikuti perkembangan kes berkenaan. – UTUSAN
The post Mohd Suhaily tiba di Mahkamah Sepang appeared first on Utusan Malaysia.






