liza06/10/2026 - 14:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt – Top Glove Corporation Bhd menutup tahun kewangan 2026 (FY26) dengan lonjakan keuntungan hampir tiga kali ganda kepada RM307.96 juta seiring pemulihan pasaran sarung tangan mula memberi ruang kepada pengeluar untuk memperbaiki margin keuntungan.
Prestasi itu dicapai ketika permintaan global terhadap sarung tangan berkembang lebih pantas berbanding pertumbuhan bekalan, sekali gus mewujudkan keadaan pasaran yang lebih seimbang selepas industri berdepan tekanan berpanjangan sejak beberapa tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Top Glove berkata hasilnya turut meningkat kepada RM4.23 bilion bagi FY26 berbanding RM3.49 bilion pada FY25, menunjukkan peningkatan permintaan dan keadaan pasaran yang lebih baik mula diterjemahkan kepada prestasi kewangan kumpulan.
Industri sarung tangan mula bernafas semula
Menurut Top Glove, perubahan keseimbangan antara permintaan dan bekalan membolehkan pengeluar mula membina semula margin yang tertekan sebelum ini.
Kumpulan itu berkata, bekalan yang lebih terhad turut berlaku susulan krisis berterusan di Timur Tengah yang menjejaskan bekalan bahan mentah dan sarung tangan.
Situasi tersebut memberi ruang kepada pengeluar untuk melaksanakan pemindahan kos kepada pelanggan dan membantu mengurangkan tekanan kos serta menyokong peningkatan margin.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bersama Top Glove, Ng Yong Lin dan Lim Jin Feng berkata pencapaian FY26 mencerminkan daya saing kumpulan di peringkat global, disokong usaha berterusan meningkatkan kualiti, kecekapan kos serta hubungan dengan pelanggan di pasaran antarabangsa.
Lonjakan semakin ketara pada suku akhir
Momentum itu menjadi lebih jelas pada suku keempat FY26 apabila keuntungan bersih Top Glove melonjak kepada RM157.63 juta, berbanding RM34.83 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil bagi suku tersebut turut meningkat kepada RM1.25 bilion daripada RM893.56 juta, menjadikan suku akhir antara penyumbang utama kepada peningkatan prestasi tahunan kumpulan.
Dengan keuntungan yang lebih tinggi, kedudukan kewangan Top Glove juga berubah dengan ketara sepanjang FY26.
Kumpulan itu beralih daripada kedudukan hutang bersih RM267 juta pada FY25 kepada tunai bersih RM141 juta pada FY26, disokong pengurusan modal yang berdisiplin dan aliran tunai operasi positif.
Isyarat positif untuk pertumbuhan seterusnya
Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Lim Chee Wai pula berkata permintaan yang berterusan terhadap sarung tangan menyediakan asas untuk pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Beliau berkata, Top Glove akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti dan kecekapan kos, produktiviti pekerja serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kumpulan kekal berdaya saing dalam keadaan pasaran yang dinamik.
Dalam pada itu, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 1.5 sen sesaham, yang akan dibayar pada 15 Disember 2026.
Secara keseluruhan, prestasi FY26 menunjukkan pemulihan keadaan industri sarung tangan mula memberi kesan lebih ketara kepada Top Glove, bukan sahaja melalui peningkatan keuntungan tetapi juga kedudukan kewangan yang kini bertukar kepada tunai bersih. - DagangNews.com




