
KLANG – Siling dirosakkan, bumbung dipanjat, tong sampah diselongkar, malah bungkusan turut dilarikan kawanan monyet liar yang semakin berani menceroboh rumah penduduk Teluk Gedung Indah di sini.
Gangguan yang semakin ketara sejak tiga bulan lalu itu menimbulkan kebimbangan kira-kira 5,000 penduduk di Jalan Sama Gagah dan Jalan Sungai Gagah terutama pada sebelah petang apabila haiwan tersebut mula berkeliaran secara berkawan.
Seorang penduduk, Jamal Hasmadi, 59, berkata, rumahnya sudah beberapa kali menjadi sasaran monyet yang masuk untuk mencari makanan selain merosakkan barangan di luar kediaman.
Katanya, kehadiran haiwan itu semakin ketara pada sebelah petang apabila ia dilihat bergerak secara berkumpulan, termasuk meniti wayar elektrik dan memanjat bumbung rumah.
“Parcel (bungkusan) yang dihantar sudah tiga kali diambil monyet termasuk salah satunya bernilai RM80. Tong sampah pula saya terpaksa letakkan di dalam kawasan rumah.
“Kalau (sebelah) petang, umpama ‘pesta monyet’. Kita sudah dua atau tiga kali membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), namun tiada sebarang tindakan sewajarnya dilakukan,” katanya kepada Kosmo!.
Jamal yang sudah 26 tahun menetap di Jalan Sama Gagah berkata, kehadiran monyet itu dipercayai berpunca dari kawasan paya bakau berhampiran yang menjadi tempat perlindungan haiwan berkenaan.
“Paya berhampiran pernah dijadikan tempat pembakaran sampah haram menyebabkan monyet masuk ke kawasan perumahan. Ada siling rumah penduduk rosak sebab monyet masuk melalui bumbung. Jangan tunggu sampai penduduk cedera baru hendak bertindak,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Idris Mazelan, 77, berkata, bilangan monyet yang banyak memaksa penduduk menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan haiwan tersebut menceroboh kediaman masing-masing.
“Tong sampah diselongkar dan kalau rumah terbuka, memang kita kena berjaya-jaga,” katanya.
Bagi Zanariah Khamis, 60, yang menetap di Sungai Sama Gagah, gangguan monyet di kawasan tersebut bukan sekadar mengotorkan pekarangan rumah, sebaliknya mula menjejaskan keselamatan penduduk.
Katanya, dia terpaksa menggunakan pancutan air untuk menghalau kawanan monyet yang datang ke rumahnya.
“Dulu seekor dua, sekarang sekawan. Rumah pernah dimasuki, bumbung dipanjat dan tong sampah diselongkar. Kita paling risau kalau monyet menyerang kanak-kanak, terutama ketika mereka bermain di luar rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Monyet ceroboh rumah, larikan bungkusan penduduk appeared first on Kosmo Online.






