Moto3: Hakim Danish ada peluang besar

1 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Moto3: Hakim Danish ada peluang besar

SEPANG – Impian pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia dari barisan hadapan akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya mengunci petak ketiga pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Kejayaan itu cukup bermakna apabila Hakim Danish muncul pelumba Malaysia pertama dalam tempoh 14 tahun yang bakal memulakan perlumbaan Moto3 di Sepang dari barisan hadapan, sekali gus mengulangi pencapaian mentornya, Zulfahmi Khairuddin yang meraih petak utama pada edisi 2012.

Beraksi dalam musim sulungnya di Kejuaraan Motosikal Dunia, pelumba berusia 19 tahun itu mempamerkan tunggangan bertenaga pada sesi Kelayakan 2 (Q2) apabila mencatat masa dua minit 10.529 saat (s), sekali gus mengesahkan kedudukan dalam kelompok tiga terbaik.

Hakim Danish mengakui cukup gembira dengan pencapaian itu selepas bekerja keras sepanjang sesi kelayakan, selain menyifatkan kedudukan berkenaan sebagai peluang terbaik untuk bersaing dengan kelompok pelumba terpantas pada perlumbaan hari ini.

“Bagi saya, mendapatkan tempat ketiga dalam sesi kelayakan bukan sesuatu yang mudah. Namun, saya bekerja keras sejak awal pusingan dan memecut laju untuk mendapatkan tempat di barisan hadapan.

“Saya gembira kerana kali terakhir pada 2012, Zulfahmi meraih petak utama, manakala hari ini saya berjaya mendapat tempat ketiga.  Menjelang perlumbaan esok (hari ini), saya akan memberikan sehabis baik kerana permulaan dari barisan hadapan sangat penting untuk saya berada dalam kelompok depan dan kekal bersama pelumba pantas.

“Saya akan cuba untuk kekal dalam kelompok hadapan sehingga tamat perlumbaan. Bagaimanapun, saya perlu melihat semula kelemahan pada sesi kali ini dan memperbaiki tunggangan,” katanya semalam.

Hakim Danish bakal memulakan perlumbaan di belakang pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles yang meraih petak utama dengan catatan 2:10.396s, manakala Brian Uriarte daripada Red Bull KTM Ajo mengisi petak kedua dengan masa 2:10.445s.

The post Moto3: Hakim Danish ada peluang besar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved