Moto3: Penalti tiga saat ranap peluang Hakim Danish

12 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Moto3: Penalti tiga saat ranap peluang Hakim Danish

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terlepas peluang keemasan menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik selepas insiden pada pusingan terakhir memaksanya berpuas hati di kedudukan ke-14 pada Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, semalam.

Meskipun bermula dari petak paling terakhir, pelumba muda negara itu mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas memintas deretan pelumba di hadapannya sebelum terlibat kemalangan di selekoh akhir sekali gus meragut peluang meraih enam mata berharga.

Pada permulaan perlumbaan, pelumba berusia 19 tahun itu tampil agresif apabila melonjak ke kedudukan ke-21 pada pusingan pertama, sebelum memintas lima lagi pelumba ke tempat ke-16 pada pusingan kedua.

Rentak bertenaga Danish terus konsisten apabila menembusi kelompok pungutan mata di tempat ke-15 dan seterusnya menaiki satu demi satu anak tangga hingga masuk ke kelompok 10 terbaik.

Menuju ke penghujung perlumbaan, Danish dikatakan hilang cengkaman tayar hadapan ketika cuba memintas Joel Kelso (Gryd Racing) untuk memburu kedudukan lebih tinggi, menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh di selekoh.

Meskipun Danish berjaya bangkit meneruskan perlumbaan dan melintasi garisan penamat di tempat ke-12, dia dikenakan penalti tiga saat susulan insiden perlanggaran tersebut kerana ketiadaan masa mencukupi untuk menyempurnakan penalti long lap dan menyaksikan kedudukannya ditolak dua anak tangga ke tempat ke-14.

Keputusan itu membolehkan Danish mengutip dua mata berharga untuk mengumpul 107 mata keseluruhan, namun kedudukan kejuaraan dunianya turun dua anak tangga ke tempat kesembilan.

Mengulas mengenai perlumbaannya, Hakim Danish mengakui permulaannya cukup positif sebelum ditimpa nasib malang di penghujung aksi perlumbaan.

“Secara keseluruhan untuk perlumbaan hari ini, bagi saya permulaannya agak baik. Saya membina rentak sejak awal, melakukan permulaan yang baik dan cuba memotong satu demi satu pelumba di hadapan saya.

“Sepanjang perlumbaan, saya cuba mengawal rentak untuk mengejar kelompok di hadapan. Saya juga melihat ada beberapa bahagian litar yang saya sedikit bergelut dan ada bahagian yang saya kuat. Di bahagian yang saya kurang kuat, saya cuba memerhatikan pelumba di hadapan dan memperbaiki kelajuan saya.

“Namun di penghujung perlumbaan pada pusingan terakhir, saya terjatuh ketika cuba memotong Joel Kelso akibat hilang cengkaman bahagian hadapan jentera. Saya cuba mengangkat semula motosikal dan meneruskan saingan sebelum menamatkannya di tempat ke-14 susulan penalti tiga saat.

“Saya juga sudah meminta maaf kepada Kelso berhubung insiden tersebut dan kini saya mahu fokus serta bersiap sedia untuk perlumbaan seterusnya di GP Australia,” katanya.

The post Moto3: Penalti tiga saat ranap peluang Hakim Danish appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved