
KUALA LUMPUR – Enggan membiarkan insiden kemalangan ‘highside’ merentap semangatnya, pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad untuk bangkit bagi menebus kekecewaan pada sesi Kelayakan 1 (Q1) esok demi memburu slot ke Kelayakan 2 (Q2) pada Grand Prix (GP) Indonesia.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu terlepas peluang untuk mara secara automatik ke Q2 selepas menamatkan sesi Latihan di kedudukan ke-18 dengan catatan masa 1 minit 38.350 saat (s) di Litar Antarabangsa Mandalika, hari ini.
Penampilan Hakim Danish untuk memburu slot ke Q2 terganggu akibat kemalangan menyebabkannya hanya sempat melengkapkan lapan pusingan pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa yang muncul terpantas dengan catatan 1:37.169s, diikuti Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) di tempat kedua (+0.088s) dan Matteo Bertelle (LEVEL UP-MTA) di kedudukan ketiga (1:37.427s).
Pencabar terdekatnya dalam perebutan gelaran Rookie of the Year, Veda Ega Pratama dari pasukan Honda Team Asia, memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berjaya menempah tiket automatik ke Q2 selepas menamatkan sesi di tempat ke-12 menerusi catatan 1:38.040s.
Situasi itu menyaksikan Hakim Danish kini memikul misi wajib menempatkan diri dalam kelompok empat pelumba terpantas pada sesi Q1 esok untuk melangkah ke Q2 sebelum menentukan kedudukan petak pada perlumbaan sebenar.
“Hari ini bukan permulaan yang baik buat saya apabila terjatuh akibat ‘highside’ ketika sesi latihan. Syukur, Alhamdulillah, saya tidak mengalami kecederaan serius, cuma badan terasa sedikit sakit selepas terjatuh.
“Bagaimanapun, saya tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha bersungguh-sungguh esok untuk cuba melayakkan diri ke sesi Kelayakan 2.
“Untuk hari ini, perasaan saya dengan jentera agak baik. Namun, ada beberapa bahagian yang perlu saya perbaiki, terutama di sektor satu dan sektor dua kerana saya bergelut untuk mendapatkan kelajuan dan kehilangan banyak masa di kedua-dua bahagian itu.
“Saya sudah berbincang dengan pasukan dan meneliti perkara yang perlu diperbaiki. Saya akan cuba yang terbaik esok,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Moto3: Hakim Danish tekad buru tiket Q2 GP Indonesia appeared first on Kosmo Online.





