
SILVERSTONE – Raúl Fernández meraikan lanjutan kontrak dua tahun bersama Trackhouse dengan cara paling sempurna apabila menguasai Grand Prix (GP) Britain untuk melakar kemenangan kedua dalam karier MotoGP.
Pelumba Sepanyol itu yang bermula dari petak kedua terus mengambil kesempatan terhadap permulaan kurang baik rakan senegaranya, Jorge Martín, apabila memintas pendahulu kejuaraan itu di selekoh pertama sebelum membuka jurang di hadapan.
Fernández kemudian menampilkan tunggangan cukup tenang dan konsisten apabila menguasai kesemua 20 pusingan di litar Silverstone untuk melakar kemenangan, manakala Martín terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan Marco Bezzecchi melengkapkan podium.
“Saya fikir ini perlumbaan yang sempurna. Saya gembira dan kemenangan ini istimewa kerana kami meraih tiga podium berturut-turut dan kali ini ia berakhir dengan kemenangan. Kini kami mahukan lebih banyak lagi,” kata Fernández.
Kemenangan itu hadir sehari selepas pelumba berusia 25 tahun itu mengalami kekecewaan apabila terbabas dalam perlumbaan Sprint, malah mengakui dirinya ‘bodoh’ susulan kesilapan berkenaan.
Fernández berkata sesi pemanasan badan sebelum perlumbaan membantunya memahami dengan lebih baik had tayar belakang, sekali gus membolehkan dia menguruskan penggunaan tayar sepanjang perlumbaan tanpa terlalu bimbang mengenai tahap ketahanannya.
Kejayaan itu turut menjadi cara terbaik buat Fernández meraikan lanjutan kontraknya bersama Trackhouse sehingga 2028 yang diumumkan sewaktu GP Britain. -AGENSI
The post MotoGP: Fernandez sempurna kontrak baharu dengan kemenangan appeared first on Kosmo Digital.


