MotoGP: Marquez sedia hadapi Martin di Sepang

29 Oct 2026 • 5:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MotoGP: Marquez sedia hadapi Martin di Sepang

SEPANG – Perebutan gelaran dunia MotoGP antara Marc Marquez dan pencabar terdekatnya, Jorge Martin, semakin mendebarkan menjelang Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu ini apabila kedua-dua pelumba Sepanyol itu memburu keputusan terbaik demi mengukuhkan peluang masing-masing untuk bergelar juara dunia.

Pelumba Ducati, Marquez, membawa kelebihan 10 mata ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas menjuarai perlumbaan pecut GP Australia minggu lalu, manakala Martin daripada Aprilia berdepan cabaran besar susulan kecederaan retak pergelangan tangan akibat kemalangan di Phillip Island.

Bagaimanapun, Martin enggan mengalah apabila diberikan kebenaran untuk turun bersaing pada sesi latihan bebas pertama (FP1), Jumaat ini. Namun, dia perlu menjalani pemeriksaan perubatan lanjut selepas sesi berkenaan sebelum dibenarkan meneruskan baki hujung minggu perlumbaan.

Mengulas kepulangan pencabar utamanya itu, Marquez menyambut baik keputusan Martin untuk kembali ke litar, namun mengakui pelumba berkenaan tetap mampu memberikan saingan sengit sekiranya cergas untuk berlumba.

“Pertama sekali, saya gembira melihat Martin kembali ke litar. Seperti yang kita tahu, naluri seorang pelumba akan sentiasa mahu mencuba.

“Protokol perubatan sekarang sangat ketat, jadi jika doktor mengesahkan dia cergas, maknanya dia selamat untuk berlumba. Jika Martin berada di atas litar, dia pasti akan laju,” katanya pada sidang media rasmi GP Malaysia di sini, hari ini.

Kepulangan Martin turut mendapat perhatian rakan sepasukannya di Aprilia, Marco Bezzecchi, yang memahami keinginan pelumba Sepanyol itu untuk kembali beraksi meskipun masih berdepan kecederaan.

Bezzecchi berkata, dia sendiri pernah melalui situasi sama apabila terpaksa berehat panjang akibat kecederaan, justeru memahami hasrat Martin untuk kembali bersaing secepat mungkin.

“Pertama sekali, saya gembira melihatnya kembali. Saya rasa kami berdua pernah berada dalam situasi yang sama. Dalam keadaan seperti itu, kami juga akan cuba sedaya upaya untuk beraksi. Jadi, bagus untuk melihat dia berada di sini,” katanya.

Martin mengalami keretakan pergelangan tangan selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan pecut di Phillip Island, Sabtu lalu, sebelum disahkan tidak cergas untuk menyertai perlumbaan utama GP Australia yang dibatalkan susulan cuaca buruk.  -KOSMO! ONLINE

The post MotoGP: Marquez sedia hadapi Martin di Sepang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved