
KOTA BHARU – Sepasang suami isteri warga emas maut selepas motosikal yang mereka naiki gagal memotong kenderaan sebelum bertembung dengan sebuah lori di Kampung Paya Lada, Kadok dekat Ketereh di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, Idris Che Ngah, 74, dan isterinya, Azizah Che Mbong, 62, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada seluruh anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, sebuah lori jenis Inokom dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Ketereh.
Katanya, pada masa sama, motosikal jenis Honda Wave dinaiki pasangan suami isteri itu berada di laluan bertentangan.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan yang berada di depan, namun gagal memasuki semula ke laluannya.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal dinaiki kedua-dua warga emas itu bertembung dengan sebuah lori yang berada di laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Azmir memberitahu, pasangan suami isteri itu meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk dibedah siasat.
Tambahnya, pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Motor tak lepas memotong, suami isteri maut bertembung lori appeared first on Kosmo Digital.






