Tiga sekeluarga maut dilanggar lori Imigresen

19 Aug 2026 • 9:14 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga sekeluarga maut dilanggar lori Imigresen

PETALING JAYA: Tiga sekeluarga maut selepas dilanggar sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah seorang lelaki berusia 53 tahun, serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.

Seorang wanita berusia 55 tahun yang juga isteri dan ibu kepada mangsa cedera dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan itu membabitkan lori Isuzu Black Maria milik Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kenderaan lain dan empat pejalan kaki.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun tanpa penumpang dan dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Lori tersebut dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.

“Pada masa sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak lurus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zamzuri berkata, pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.

“Akibat perlanggaran tersebut, lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga.

“Kemalangan itu turut melibatkan sebuah kenderaan Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan berhenti di persimpangan lampu isyarat ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan.

Katanya, pemandu lori Imigresen dan pemandu Proton Saga masing-masing telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol serta ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati keputusan negatif.

“Polis juga sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan saksi bebas serta membawa kenderaan yang terbabit untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- UTUSAN

The post Tiga sekeluarga maut dilanggar lori Imigresen appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved