'Terima panggilan ibu tetapi suara orang lain di talian'

24 Aug 2026 • 2:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Terima panggilan ibu tetapi suara orang lain di talian'
Keadaan motosikal pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan selepas dipercayai bertembung dengan sebuah lori di Kampung Paya Lada, Ketereh, Kota Bharu pada Isnin. FOTO: Tular
Image from: 'Terima panggilan ibu tetapi suara orang lain di talian'
Anggota polis mengangkat motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Paya Lada, Ketereh, Kota Bharu pada Isnin. FOTO: Tular

KOTA BHARU - Pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki kedua-duanya dipercayai bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Kampung Paya Lada, Ketereh di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa Idris Che Ngah, 74, dan isteri, Azizah Che Mbong, 62, yang dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Pengkalan Kubor, Tumpat dikatakan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Anaknya, Mohd Shahabudin Idris, 35, berkata, dirinya terkejut apabila menerima panggilan telefon yang tertera nombor ibunya tetapi suara didengarinya di talian milik orang lain.

"Masa itu saya di tempat kerja, tiba-tiba ada panggilan tertera nama ibu dan saya mengangkatnya seperti biasa tetapi terkejut bila dengar suara orang lain.

"Orang berkenaan memaklum kepada saya yang ibu dan ayah kemalangan dan minta datang ke lokasi dengan segera," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di sini.

Menurut anak ketujuh daripada sembilan beradik itu, individu yang membuat panggilan berkenaan bagaimanapun tidak memaklumkan keadaan sebenar ayah dan ibunya selain hanya memberitahu mereka terlibat kemalangan.

**media[3624605]**

Namun ujarnya, diirinya mulai khuatir lebih-lebih lagi apabila mengenangkan pada pagi tadi ayah dan ibunya beria-ria hendak menaiki motosikal ke Komplek Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor walaupun dihalang.

Mohd Shahabudin memberitahu, hasrat kedua orang tuanya itu dihalang semasa bersarapan pagi di sebuah kedai kopi.

"Ibu dan ayah tetap berkeras hendak pergi juga. Saya bimbang kerana ayah tidak berapa sihat selepas diserang strok ringan dua minggu lalu.

"Rasanya dalam sekitar jam 8 pagi mereka bertolak dari rumah kami di Kampung Kenor. Kemudian sekitar jam 10 pagi saya menerima panggilan telefon memaklumkan tentang kemalangan yang berlaku," katanya yang bekerja sebagai kakitangan sebuah hotel di Kuala Krai.

Menurutnya, sudah menjadi rutin tahunan ayahnya membawa ibu yang merupakan warga Thailand ke ICQS Pengkalan Kubor untuk mengecop pasport.

Namun katanya tidak menyangka ia merupakan kali terakhir ayah berbuat demikian bersama ibu.

"Sehingga sekarang saya dan adik beradik lain masih terkejut dengan apa yang berlaku.

"Jenazah ibu dan ayah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor selepas selesai urusan bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved