
KOTA BHARU: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori selepas gagal memotong kenderaan lain di Pasar Segar Kampung Paya Lada, Kadok, Ketereh, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, mangsa Idris Che Ngah, 74, dan isteri, Azizah Che Mbong, 62, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian pasangan suami isteri itu dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu.
Katanya, setiba di lokasi motosikal tersebut dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal dan memasuki semula laluan asal lalu merempuh sebuah lori.
“Akibat pelanggaran itu, pasangan suami isteri berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk bedah siasat.
“Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Azmir memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN
The post Gagal memotong, pasangan suami isteri maut motosikal bertembung lori appeared first on Utusan Malaysia.






