MP gesa pihak terlibat New Age Movement segera bertaubat

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 12:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MP gesa pihak terlibat New Age Movement segera bertaubat

KUALA LUMPUR: “New Age Movement, ajaran kufur membawa murtad. Wajib segera bertaubat bagi yang terlibat.”

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dalam rangkap pantun ketika mengemukakan soalan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli di Dewan Rakyat hari ini.

Pantun berkenaan dipercayai berkaitan dakwaan yang tular membabitkan  Marhamah dengan gerakan berkenaan.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu turut menggesa umat Islam mempelajari ilmu tauhid dan sifat 20 bagi membezakan antara Khaliq (pencipta) dengan makhluk, sekali gus memastikan akidah mereka terus terpelihara.

“Wajib belajar ilmu tauhid dan sifat, tahu beza antara Khaliq (Pencipta) dan makhlukat (makhluk), agar iman tidak terbatal dan benar makrifat. Beroleh selamat dalam dunia dan akhirat.

“New Age Movement, ajaran kufur membawa murtad. Wajib segera bertaubat bagi yang terlibat. Pantun ini ada nafi dan isbat. Tuan Yang di-Pertua, soalan saya nombor empat,” katanya.

Sebelum ini, Marhamah turut diajukan soalan berkaitan isu berkenaan oleh Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena), namun beliau tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan yang dikaitkan dengannya.

Marhamah sebaliknya mengingatkan semua pihak supaya menyelidik dan menyemak sesuatu maklumat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penghakiman.

“Saya ingin mengingatkan semua, termasuk Yang Berhormat Pokok Sena dan semua Yang Berhormat yang berada di sini, termasuk diri saya sendiri, sebelum kita membuat hukuman atau mempercayai cerita-cerita di luar, apa kata kita ingat pesan Allah dalam Surah Al-Hujurat untuk kita bertabayyun, untuk kita selidik dan semak.

“Dan sangat tidak adil untuk menghukum saya hanya berdasarkan cerita sebelah pihak. 

“Jadi saya ingin mengajak, ayuh kita bertabayyun, semoga perjuangan Islam kita bukan hanya sekadar lantang bersuara, tetapi kita menghidupkan akhlak dalam perjuangan kita,” katanya. – UTUSAN

The post MP gesa pihak terlibat New Age Movement segera bertaubat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved