MP Letak jawatan: Khidmat rakyat Petaling Jaya tetap diteruskan - AMK Selangor

LocalPolitics
3 Oct 2026 • 7:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MP Letak jawatan: Khidmat rakyat Petaling Jaya tetap diteruskan - AMK Selangor
PKR akan mengambil langkah serta membuat penyelarasan sewajarnya bagi memastikan khidmat kepada penduduk Petaling Jaya terus berjalan sperti biasa.

PETALING JAYA - Perkembangan politik susulan keputusan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung meletakkan jawatan tidak seharusnya menjejaskan urusan dan kepentingan penduduk di kawasan itu.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Christopher Ong berkata, tanggungjawab memastikan kebajikan serta isu penduduk terus diberi perhatian perlu menjadi keutamaan walaupun berlaku perubahan dalam landskap politik.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Jangan cakap ruang disekat jika mesyuarat penting pun tak hadir’ – Bryan Ng

Chean Chung tidak libatkan diri dalam urusan parti sejak setahun - Anwar

Menurutnya, pihaknya menghormati keputusan Chean Chung dan menghargai segala khidmat serta sumbangan beliau kepada penduduk Petaling Jaya sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen.

"Perkembangan politik tidak sepatutnya menjejaskan kepentingan rakyat dan khidmat kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Di Petaling Jaya, Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing serta wakil masyarakat akan terus menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, Chean Chung pada Jumaat mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan penggantungan keahliannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama tiga tahun.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas menerima keputusan penggantungan pada 30 September lalu, selain mendakwa akses terhadap peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya sebelum ini telah disekat dan digunakan wakil parti.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, walaupun peranan setiap wakil rakyat dan pemimpin masyarakat berbeza, matlamat mereka tetap sama iaitu memastikan isu rakyat didengar dan disusuli dengan usaha penyelesaian.

Katanya, sebagai Ahli Majlis MBPJ Zon 10 yang meliputi Seksyen 16 dan 17, beliau bersama pasukannya akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

"Aduan penduduk berkaitan kebersihan, jalan, lampu, longkang, pembangunan, keselamatan komuniti dan isu tempatan boleh terus disampaikan kepada pihak kami untuk diselaraskan bersama PBT serta agensi berkaitan sehingga ada jalan penyelesaian.

"Sudah tentu kita tidak dapat mengelak perbezaan dalam politik, tetapi bagi saya, kepentingan rakyat dan khidmat untuk penduduk tidak boleh terkesan hanya disebabkan perkara tersebut," jelas beliau.

Dalam pada itu, Christopher yakin PKR akan mengambil langkah serta membuat penyelarasan sewajarnya bagi memastikan khidmat kepada penduduk Petaling Jaya terus berjalan sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, apa juga proses seterusnya, keutamaan perlu diberikan kepada usaha memastikan penduduk mempunyai saluran untuk mendapatkan bantuan serta menyampaikan isu dihadapi.

"Kami akan terus turun padang, mendengar, bekerjasama dengan PBT dan agensi berkaitan.

"Paling penting, terus menyantuni perkara yang dibangkitkan oleh penduduk kerana Petaling Jaya adalah rumah kita bersama.

"Apa pun yang berlaku dalam politik, khidmat untuk rakyat tetap diteruskan," tambah beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved