
PETALING JAYA – Kesesakan mendapatkan perkhidmatan bas ulang-alik selepas acara Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mendorong beberapa pengguna media sosial menawarkan khidmat penghantaran menggunakan motosikal.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna dengan nama akaun @Uno666222 menawarkan perkhidmatan ‘F1 Moto Ride’ dengan caj RM50 bagi setiap penumpang.
“Shuttle bus (bas perantara) penuh? Malas nak tunggu lama? Aku buka F1 Moto Ride untuk yang nak cepat balik parkir lepas event (acara),” katanya.
Menurutnya, perkhidmatan itu disediakan selepas acara dengan lokasi mengambil penumpang di kawasan Petronas berhampiran SIC sebelum dihantar ke lokasi parkir pelanggan.
Seorang lagi pengguna @afifoncourt turut menawarkan perkhidmatan sama dengan mengenakan caj RM80 seorang.
“Saya ada buat servis pick up (ambil) dan hantar. Siapa nak boleh,” katanya.
Sementara itu, @Naimah Mohd menawarkan perkhidmatan untuk pengunjung wanita bagi yang memerlukan perjalanan pada hari ini dan esok.
Perkhidmatan berkenaan melibatkan laluan dari Petronas bertentangan SIC ke Mitsui Outlet Park dengan caj RM20.
“Helmet ready for pillion (topi keledar tersedia untuk pembonceng). DM (mesej),” katanya.
Dalam pada itu pengguna @Keanyap menawarkan perkhidmatan motosikal dari Petronas SIC ke Mitsui Outlet Park atau kawasan parkir Bandar Enstek.
Caj yang dikenakan pengguna tersebut adalah RM40 bagi perjalanan sehala, manakala perjalanan dua hala ditawarkan pada harga RM60.
Menurutnya, perkhidmatan itu terbuka kepada penumpang lelaki dan wanita, selain menyediakan topi keledar kepada pembonceng.
“Limited slots (slot terhad), boleh book (tempah) awal,” katanya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang sedang mencari alternatif pengangkutan bagi memudahkan perjalanan keluar dari kawasan SIC selepas acara F1.
“Betul boleh buat duit ya, tapi saya la tu yang perlukan khidmat ini. Will DM (akan mesej),” kata @Frwwszq. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Geng gojek’ bawa pengunjung F1, caj hingga RM80 appeared first on Kosmo Online.






![[VIDEO] ‘KLIA ke F1 Sepang sesak teruk, kasihan orang kejar nak naik flight’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/sesak-klia-1024x575.jpeg)