MPHS hargai JMB, MC cemerlang urus bangunan strata 2025

24 Jun 2026 • 8:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MPHS hargai JMB, MC cemerlang urus bangunan strata 2025

SHAH ALAM, 24 JUN: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyampaikan apresiasi kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) 2025 sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan pengurusan bangunan strata.

Penghargaan itu disampaikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dataran Warisan, Kuala Kubu Bharu pada 21 Jun lalu bersempena Program Hari Tanpa Kenderaan dan Larian Obor SUKMA XXII Selangor 2026.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan penyampaian apresiasi berkenaan dibuat berdasarkan penilaian Indeks Kualiti Pengurusan Bangunan Berstrata yang bertujuan memastikan sistem pengurusan dan pentadbiran JMB serta MC sentiasa mencapai matlamat serta kualiti ditetapkan.

Menurut kenyataan di Facebook MPHS, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) yang menjalankan penilaian penarafan bintang kepada JMB dan MC.

“Penyampaian anugerah ini merupakan inisiatif MPHS melalui Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) dalam melaksanakan penilaian penarafan bintang kepada JMB dan MC.

“Ia seterusnya memberi apresiasi kepada JMB dan MC yang mencatatkan penarafan cemerlang,” menurut kenyataan itu.

Pada majlis berkenaan, Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaludin menyampaikan sijil dan wang tunai kepada 19 penerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Strata yang berjaya mencapai penarafan empat bintang.

Selain itu, tiga JMB dan MC turut menerima Anugerah Pengurusan, Penyenggaraan dan Kewangan Terbaik yang membawa pulang trofi, wang tunai serta sijil penghargaan.

Tempat pertama dimenangi JMB Pangsapuri Seri Kembangan, Bukit Beruntung, diikuti Perbadanan Pengurusan Seri Anggerik III, Bukit Sentosa di tempat kedua dan JMB Pangsapuri Seri Tanjung, Bukit Beruntung di tempat ketiga.

MPHS berkata penilaian penarafan bintang berkenaan menjadi antara contoh pemantauan serta kerjasama Kerajaan Negeri bersama jabatan, bahagian dan unit Pesuruhjaya Bangunan di pihak berkuasa tempatan Selangor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved