MPKB-BRI kenal pasti tapak penempatan semula mangsa kebakaran Gok Kapur

10 Jun 2026 • 4:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MPKB-BRI kenal pasti tapak penempatan semula mangsa kebakaran Gok Kapur
Mangsa kebakaran, Mohd Khairul Azwan Annuar, 34, mencari sisa-sisa barangan yang masih boleh digunakan selepas kediamannya musnah dalam kebakaran membabitkan 27 rumah di Kampung Gok Gapur. Foto Bernama
Image from: MPKB-BRI kenal pasti tapak penempatan semula mangsa kebakaran Gok Kapur
Zulkifle (tengah) menyampaikan sumbangan tunai kepada mangsa kebakaran Muhammad Arif Haikal Mohd Termizi, 18. FOTO ADILA SHARINNI WAHID
Image from: MPKB-BRI kenal pasti tapak penempatan semula mangsa kebakaran Gok Kapur
Kebakaran yang berlaku pada Isnin menyebabkan 27 rumah musnah di Kampung Cina, Gok Kapur, Kota Bharu. Foto JBPM

KOTA BHARU - Kawasan yang sesuai untuk cadangan penempatan semula mangsa kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur akan dikenal pasti oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebelum dibincangkan bersama Kerajaan Kelantan.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zulkifle Ab Rahman berkata, usaha itu susulan kebakaran yang memusnahkan 27 rumah di kawasan berkenaan selain mengambil kira status kediaman yang dibina di atas tanah sewaan milik individu.

Menurut beliau, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung kemungkinan menyediakan penempatan yang lebih sesuai kepada keluarga yang terjejas.

“Kami sedang mengenal pasti tapak-tapak yang sesuai, namun perkara ini masih di peringkat perancangan dan perbincangan dengan kerajaan negeri.

“Sebarang cadangan penempatan semula perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri selain melibatkan peruntukan bagi pembinaan rumah sekiranya langkah ini dipersetujui,” katanya ketika ditemui ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di sini pada Rabu.

**media[3546673]**

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon yang juga menyampaikan sumbangan tunai kepada mangsa.

Beliau berkata, setakat ini belum ada keputusan muktamad mengenai bentuk bantuan perumahan yang boleh disediakan kepada mangsa kerana beberapa perkara perlu diteliti terlebih dahulu.

Menurutnya, pada sama pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sekiranya perlu bagi membantu mangsa layak terima bantuan.

“Perbincangan lanjut akan diadakan dengan MAIK bagi mengenal pasti sama ada terdapat mangsa yang tergolong dalam kalangan asnaf dan layak menerima bantuan melalui dana zakat.

“Sebab itu semua perkara perlu meneliti terlebih dahulu sebelum sebarang cadangan dapat dimuktamadkan,” katanya.

**media[3546668]**

Beliau berkata, buat masa ini sebahagian mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara Masjid Mukim Banggol dan kediaman ahli keluarga sementara menunggu langkah susulan daripada pihak berkuasa.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud memaklumkan kerajaan negeri akan meneliti cadangan penempatan baharu bagi keluarga yang terjejas dalam kejadian Isnin lalu.