KOTA BHARU – Seorang mangsa kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini pada Isnin bukan sahaja kehilangan rumah dan harta benda, malah turut berdepan kesedihan apabila dua daripada 12 kucing peliharaannya mati dalam kebakaran itu.
Seekor lagi kucing turut melecur pada kaki, manakala seekor itik pula sudah tiga hari dalam keadaan nyawa-nyawa ikan akibat sesak nafas selepas menghidu asap tebal.
Mangsa, Nik Mahani Nik Mahmood, 47, berkata, kejadian yang meragut nyawa kucing peliharaannya itu meninggalkan kesan mendalam kerana haiwan berkenaan dianggap seperti keluarga sendiri.
Menurut peniaga kuih itu, ketika kebakaran berlaku, dia keluar membeli nasi sebelum menerima panggilan memaklumkan rumahnya terbakar.
“Sebaik tiba di rumah, api sudah marak dan saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan haiwan yang berada di dalam rumah.
“Dua ekor kucing ditemukan mati selepas kebakaran, manakala seekor lagi yang memang mengalami kecederaan pada kaki tidak sempat melarikan diri dan melecur,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Nik Mahani berkata, dia memelihara 12 ekor kucing jalanan yang diselamatkan sejak 2007 dan kebanyakannya dipungut dari sekitar pasar di kawasan Kota Bharu.
Katanya, kedua-dua kucing yang mati itu baharu dipeliharanya pada Januari lalu selepas ditemui berkeliaran tanpa tuan.
“Saya sudah menjaga kucing jalanan hampir 20 tahun. Mereka bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi teman yang sentiasa ada bersama saya.
“Ini kali pertama saya kehilangan haiwan peliharaan dalam kebakaran,” katanya.
Menurutnya, rumah yang didiaminya turut musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut dan kini dia menumpang sementara di rumah saudaranya.
Selain kucing, Nik Mahani turut memelihara kira-kira 30 ekor itik di kawasan rumahnya.
Katanya, itik-itik itu berjaya diselamatkan, namun seekor daripadanya ditemui dalam keadaan lemah dan hampir mati, dipercayai akibat terhidu asap tebal.
Dalam kejadian pada Isnin lalu, kebakaran besar di Kampung Cina, Gok Kapur memusnahkan 27 rumah dan menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal serta harta benda.





