liza13/01/2026 - 16:08 KUALA LUMPUR 13 Jan – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memperkenalkan harga rujukan rasmi minyak masak terpakai (UCO) pada suku pertama 2026 dalam usaha termasuk mengelakkan berlakunya manipulasi harga.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata langkah itu akan memberi panduan harga lebih jelas, menyokong amalan perdagangan adil, melindungi pemain kecil daripada manipulasi harga dan penipuan selain menjadi tindakan penting ke arah pasaran UCO yang lebih teratur serta mampan.
“Minyak masak terpakai kini berperanan penting dalam usaha peralihan (menukar sisa kepada sumber bernilai), terutama bagi penggunaan di peringkat industri seperti biodiesel api dan produk kimia berasaskan sawit.
“MPOB akan terus mengukuhkan tadbir urus, memberi penjelasan jelas serta melakukan pemantauan pasaran bagi memastikan UCO diuruskan secara selamat dan teratur,” katanya ketika bercakap sebelum merasmikan Seminar Tinjauan dan Prospek Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2026 di sini, hari ini.
Noraini berkata harga purata minyak sawit mentah telah meningkat 2.7 peratus kepada RM4,292 satu tan pada 2025 berbanding RM4,179 pada 2024.
Perolehan hasil eksport bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit pula dijangka mencecah lebih RM100 bilion pada 2025 dengan pengeluaran minyak sawit mentah mencapai 20 juta tan.
“Angka ini satu pencapaian yang kukuh. Dari perspektif kerangka daya saing Malaysia di masa depan bergantung kepada tiga perkara utama — produktiviti lebih tinggi, jaminan kelestarian lebih kukuh serta pematuhan inovasi yang pantas,” katanya.

Menyentuh prospek minyak sawit, Noraini menyifatkannya sebagai kekal cerah dengan keutamaan bagi memperkukuh produktiviti, kemampanan serta penerimagunaan secara bersama.
Pada masa sama, beliau mengingatkan kepentingan untuk Malaysia memastikan aspek kualiti, kelestarian serta pengesanan dan tadbir urus dalam rantaian bekalan.
Seiring kepentingan itu, katanya, kerajaan akan terus memperkukuh sistem jaminannya untuk memastikan minyak sawit Malaysia kekal dipercayai dan berdaya saing.
“Saya yakin industri sawit Malaysia mempunyai masa depan kukuh serta berdaya tahan dan pertumbuhan ini perlu seiring dengan kelestarian, keterangkuman dan inovasi,” katanya.
Ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, penggiat industri, penyelidik serta pekebun kecil, katanya.
Dalam pada itu, sempena R&O anjuran MPOB yang bertemakan “Securing the Future of Palm Oil in a Changing Global Economy” (Menjamin Masa Depan Minyak Sawit Dalam Perubahan Ekonomi Global), menghimpunkan lebih 400 pakar industri dan ahli akademik bagi membincangkan prestasi pasaran pada 2025, potensi tahun ini serta strategi dan hala tuju industri minyak sawit Malaysia.
Acara turut menyaksikan pelancaran buku “Small Bites, Big Impact – The Real Palm Oil Biscuit Story” yang mengetengahkan hasil dapatan kajian pengambilan makanan sampingan minyak sawit berasaskan biskut oleh MPOB menerusi kerjasama dengan Universiti Malaya. -- BERNAMA


