Platform GeoSAWIT bantu pemetaan data lokasi dan tanaman sawit Malaysia lebih tepat - Noraini Ahmad

LocalTechnology
7 Oct 2026 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Platform GeoSAWIT bantu pemetaan data lokasi dan tanaman sawit Malaysia lebih tepat - Noraini Ahmad Image from: Platform GeoSAWIT bantu pemetaan data lokasi dan tanaman sawit Malaysia lebih tepat - Noraini Ahmad amree07/10/2026 - 10:50 NORAINI Ahmad ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt — Pelancaran portal GeoSAWIT terbitan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membantu pemetaan lokasi serta sempadan tanaman sawit di seluruh negara, dalam usaha memperkukuh ketelusan dan kebolehjejakan industri sawit Malaysia di pasaran global.

 

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, platform geospatial nasional itu mampu meliputi kawasan tanaman milik estet dan pekebun kecil, sekali gus membolehkan agensi berkenaan memperoleh data yang lebih tepat mengenai situasi semasa landskap tanaman komoditi negara tersebut.

 

Tambah beliau, sistem teknologi moden berkenaan di samping platform Sawit Intelligent Management System (SIMS) bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan, malah berupaya menjadi sebahagian strategi penjenamaan minyak sawit Malaysia di peringkat dunia.

 

"Pelancaran GeoSAWIT dijangka membantu industri memenuhi keperluan pasaran global yang semakin menekankan aspek ketelusan, kebolehjejakan dan kemampanan, selain menyokong usaha meningkatkan keyakinan pembeli antarabangsa terhadap potensi minyak sawit Malaysia," katanya.

 

MPOB_DagangNews2026
NORAINI Ahmad (dua dari kiri) melancarkan portal GeoSAWIT pada Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026.

 

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026 di Kuala Lumpur serta menjelaskan, minyak sawit Malaysia perlu dikenali bukan sahaja kerana kualitinya, tetapi juga pengurusan industri yang bertanggungjawab dan telus.

 

Di samping itu tambah Noraini, industri sawit tempatan perlu beralih daripada hanya menumpukan produktiviti dan jumlah pengeluaran kepada penciptaan produk bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi, inovasi, automasi serta kecekapan pengurusan.

 

Ujar beliau memberi contoh sepanjang 2025, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia sudah berjaya mencecah 20.28 juta tan, melepasi paras rekod 20 juta tan buat kali pertama, manakala nilai eksport produk berasaskan sawit pula mencapai RM125 bilion.

 

MPOB
NORANI Ahmad (duduk tengah) bergambar dengan penerima Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026.

 

Sementara itu, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, ketepatan dan kebolehpercayaan data penting bagi memperkukuh sistem pemantauan serta kebolehjejakan industri, sekali gus menyokong tadbir urus berasaskan data.

 

"GeoSAWIT melengkapi SIMS sebagai sebahagian daripada pendekatan digital MPOB untuk memperkukuh kebolehjejakan rantaian bekalan sawit negara, termasuk membantu pekebun kecil dalam memenuhi keperluan pasaran antarabangsa," kata beliau.

 

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 36 penerima daripada 12 kategori menerima Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan produktiviti, teknologi dan automasi, pematuhan peraturan, pemasaran produk serta kemampanan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved